TAMIL NADU – Seorang bayi perempuan yang berusia lapan hari maut selepas dilarikan sekumpulan monyet di bandar Thanjavur, India.
Polis di selatan India berkata, kejadian berlaku ketika bayi malang itu dan kembarnya sedang tidur di rumah pada Sabtu lalu.
Ibu bayi, Bhuvaneshwari dikatakan mendengar bayinya menangis sebelum melihat mereka dibawa dari bilik tidur dan kemudian mula menjerit, katanya kepada India Today.
Dipercayai kumpulan monyet itu bertindak masuk ke dalam rumah melalui bumbung dan melarikan kedua-dua bayi berkenaan.
Jiran yang terdengar jeritan Buvaneswari bergegas membantu, namun hanya berjaya menyelamatkan salah seorang bayi kembar itu.
Menurut pegawai, ketika jiran Buvaneswari sedang berusaha untuk mengambil bayi berkenaan, monyet telah menjatuhkan seorang bayi dari bumbung dan melempar seorang lagi bayi.
Bagaimanapun, salah seorang bayi kembar itu jatuh ke dalam longkang dan mati manakala seorang lagi dalam keadaan kritikal.
Pasukan perubatan mengesahkan kematian bayi malang itu dan kes sedang disiasat. -MalaysiaGazette