MUTAKHIR ini, kita sering mendengar tentang kadar kes kematian yang meningkat. Sama ada disebabkan oleh kes Covid-19 atau penyakit penyakit lain atau disebabkan oleh kes jenayah. Walau bagaimanapun, untuk menyelesaikan kes kematian yang melibatkan kes forensik iaitu seperti kematian mengejut, kematian yang ragu ragu punca kematiannya, kematian disebabkan bunuh diri atau dibunuh, proses penyiasatan menjadi semakin rumit semasa musim pandemik yang melanda dunia ini.
Dalam menyelesaikan kes forensik, pakar forensik perlu kepada kepakaran dan pengalaman tersendiri di samping kemahiran yang boleh dipelajari dari setiap kes yang dihadapi setiap hari. Bukan semua bidang dalam forensik boleh diajar dan dipelajari di bilik kuliah. Kadangkala ia memerlukan pengorbanan dari segi masa dan tempat untuk mempelajari sesuatu kes, di samping berserah diri pada Allah SWT yang maha berkuasa untuk memberi penunjuk arah dalam sesuatu kes.
Dalam sesetengah kes, pakar forensik diperlukan untuk hadir ke tempat kejadian bagi membantu pihak polis dalam menyiasat sesuatu kes dan menentukan arah siasatan kes. Sebagai contoh, adalah penting bagi seseorang pakar forensik untuk mencari bukti kukuh yang boleh mensabitkan kesalahan tertuduh di tempat kejadian. Misalnya bukti seperti senjata, helaian rambut, serpihan cat, kuku ataupun cebisan pakaian boleh diambil dari tempat kejadian bagi membantu siasatan sesuatu kes.
Adalah penting bagi seseorang pakar untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat dari orang sekeliling bagi menentukan arah siasatan kes. Kadangkala cerita sebenar hanya dapat diperoleh setelah post mortem (bedah siasat) dijalankan, maka adalah penting bagi seseorang pakar menjalankan post mortem sama seperti pada kes bunuh agar semua bukti terpelihara dan seterusnya melalui proses analisa di makmal. Kesemua bukti harus ada agar dapat digunakan bagi membantu justifikasi kes dalam menjatuhkan hukuman pada tertuduh di mahkamah nanti.
Kadangkala, kes kelihatan seperti kematian biasa dan tiada terdapat kesan jenayah. Namun, setelah diselidiki, ia merupakan kes bunuh diri dalam kalangan remaja perempuan. Kes tersebut melibatkan seorang warga remaja yang masih bersekolah, dan remaja ini telah mengambil jalan singkat untuk menamatkan riwayat hidupnya dengan terjun dari bangunan setelah gagal dalam usahanya untuk menjerut leher dengan tali. Begitu jalan ceritanya yang dapat diselidiki setelah pakar forensik berjaya mendapat sejarah simati serta bukti cerita dari gambar ‘snapshot’ yang diambil dari telefon bimbit simati.
Cerita-cerita seperti ini amat sinonim dengan seorang remaja yang mengambil jalan singkat untuk menamatkan riwayat hidup setelah mengalami masalah tekanan dari pihak keluarga. Telah banyak kisah seperti ini berlaku di kalangan warga remaja yang sanggup membunuh diri semata-mata kerana tidak dapat memenuhi kehendak keluarga yang inginkan kejayaan anak-anak mereka di sekolah.
Namun, golongan remaja ini bukan sahaja memerlukan masa untuk memahami pelajaran yang sukar, malah terpaksa pula menghadapi tekanan yang berat dari pihak keluarga yang inginkan kejayaan yang cemerlang secara pintas. Bukti dari telefon bimbit inilah yang telah membantu penulis dalam usaha menyelesaikan kes tersebut secara baik dan sistematik.
Bukan saja kes bunuh diri, malah pakar forensik juga pernah menghadapi kes bunuh yang berlaku di kalangan warga tempatan yang mati di negara jiran dan telah lama ditanam dan perlu digali semula bagi menyelesaikan kes yang belum selesai. Penggalian semula
simati telah diminta oleh pihak berwajib untuk mencari penyelesaian sebab kematian yang masih tidak diketahui. Setelah mayat digali, apa yang dijumpai cuma kerangka dalam sebuah kotak yang kecil. Kotak tersebut telah diperiksa kandungannya dan dilakukan pemeriksaan secara menyeluruh dari segi luaran dan x-ray telah diambil bagi mengesan sebarang penyakit tulang ataupun kepatahan tulang yang berlaku akibat kecederaan semasa hidup.
Setelah diteliti, tiada sebarang kecederaan yang ditemui bagi merumuskan sebab kematian simati. Dalam kes yang melibatkan kerangka manusia, bukan semua kes boleh diselesaikan secara definitif, malah ianya bergantung kepada bukti yang ada. Tanpa bukti kecederaan pada tulang, kes terpaksa diungkap sebagai kes yang tidak diketahui sebab kematiannya. Seorang pakar hanya boleh memberi sebab kematian sekiranya ada bukti yang kukuh seperti kecederaan tulang akibat trauma dan sebagainya.
Pihak forensik juga kadang kadang menerima aduan daripada pihak polis seperti kes kejadian di sebuah masjid yang untuk menjumpai kerangka sejenis haiwan yang dijumpai tertanam di sekitar kawasan masjid. Sangkaan pihak polis pada mulanya adalah seorang bayi yang baru lahir ditanam di situ. Namun, setelah diperiksa dengan teliti, kerangka tersebut merupakan seekor haiwan yang telah ditanam. Dengan terjumpanya kerangka kepala yang bermuncung tajam, jelas ia adalah sejenis haiwan. Kes tersebut telah ditutup tanpa banyak persoalan lagi.
Pada pandangan Islam, membunuh manusia dengan sengaja tanpa alasan yang dibenarkan oleh syarak adalah dosa besar yang sangat berat. Islam menggariskan hukum yang sangat berat bagi pelaku jenayah membunuh kerana bagi memastikan nyawa terpelihara dan keselamatan terjamin.
Firman Allah SWT bermaksud: " Dan janganlah kamu bembunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya kami telah menjadikan
warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, Kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (Menurut Hukum Syarak)." (Surah Al-Israa’, Ayat 33)
Hukum Qisas disyariatkan di dalam Islam terhadap pembunuh sebagai langkah memelihara kehormatan manusia dan kehidupan manusia di bumi dengan sempurna mengikut maqasid syariah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Kewajipan ini adalah ditujukan kepada pihak berkuasa atau pemerintah yang berkuasa dan beriman. Bukan senang untuk membuktikan kesalahan pembunuhan sesuatu kes forensik kerana ia memerlukan bukti yang kukuh dan terperinci bagi membuktikan dan mensabitkan kesalahan pembunuh.
Semoga nasib simati dapat dibela serta waris simati dapat hak yang sepatutnya diperolehi di atas kematian simati.
Prof Dr Faridah Mohd Nor
Pakar Patologi Forensik
Fakulti Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia
&
Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi,
Fakulti Pergigian,
Universiti Sains Islam Malaysia