KUALA LUMPUR – Felda membeli 857,300 lagi saham FGV Holdings Bhd bernilai RM1.11 juta pada pasaran terbuka.
Saham itu dibeli pada nilai RM1.30 sesaham.
Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) berkata, pembelian itu dibuat pada 11 Februari lalu,
Pembelian itu, katanya, di bawah tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat oleh Felda, melalui Maybank IB, untuk memperoleh semua baki saham dalam FGV (tidak termasuk saham perbendaharaan) yang belum dipegang oleh Felda dan pihak-pihak yang bertindak bersama dengannya.
Ia termasuk semua saham FGV di bawah rancangan insentif jangka panjang FGV.
Setakat 10 Februari lalu, Felda dan PAC menguasai sejumlah 2.63 bilion saham FGV, bersamaan 71.95%.
Maybank IB berkata, FGV tidak memenuhi syarat pegangan minimum saham awam sebanyak 25% kerana ia hanya diwakili sebanyak 23.93% setakat 4 Februari lalu.
Pada 11 Februari lalu, Maybank IB memaklumkan tarikh tutup penerimaan tawaran pengambilalihan oleh Felda untuk mendapatkan baki saham dalam FGV dilanjutkan sehingga 2 Mac berbanding 16 Februari ini. – MalaysiaGazette