Home Ekonomi Lanjutan insentif pacu jualan UMW Toyota Motor, Perodua

Lanjutan insentif pacu jualan UMW Toyota Motor, Perodua

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan UMW membuka tahun 2021 dengan penjualan automotif yang meyakinkan oleh UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu, Perodua pada bulan Januari.

Insentif pengecualian cukai penjualan yang kini telah dilanjutkan hingga 30 Jun 2021 mendorong kepada peningkatan permintaan kenderaan.

UMWT mencatatkan jualan sebanyak 3,845 unit pada Januari 2021, 4.1% lebih tinggi daripada 3,692 unit jualan yang didaftarkan pada bulan yang sama tahun lalu. Toyota Vios, Yaris dan Hilux terus menjadi model yang terlaris bagi UMWT pada bulan Januari.

Vios dan Yaris yang dikemaskini telah dilancarkan secara rasmi pada 17 Disember 2020.

UMWT memperkenalkan Toyota Fortuner dan Innova yang dikemaskini pada 2 Februari 2021 bagi mendorong peningkatan dalam penjualan pada tahun 2021.

Toyota Fortuner 2021 ditawarkan dengan dua varian yang bergaya, prestasi enjin dan sistem keselamatan, yang dikemaskini serta mengekalkan ciri-ciri yang menjadikannya SUV yang popular.

UMWT juga melancarkan rangkaian Toyota Innova 2021, ditawarkan dalam tiga varian baru dan mempunyai penampilan dan ciri terkini serta sistem keselamatan tambahan yang diselaraskan.

Sementara itu, Perodua telah mencatatkan jualan sebanyak 16,894 unit pada Januari 2021 sedikit rendah berbanding 17,481 unit jualan yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun lalu.

Perodua, yang telah mencatatkan penjualan sebanyak 220,163 unit pada tahun 2020, kini menetapkan sasaran penjualan tahun ini sebanyak 240,000 unit, iaitu peningkatan sebanyak 9%.

Syarikat itu juga merancang untuk meningkatkan jumlah stok kenderaannya dengan meningkatkan jumlah sasaran pengeluaran kenderaan kepada 272,000 unit tahun ini – yang tertinggi dalam sejarah dan seterusnya membeli komponen tempatan yang bernilai RM6.5 bilion pada tahun 2021 yang mana ia akan memanfaatkan industri automotif tempatan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Berhad, Datuk Ahmad Fuaad Kenali berterima kasih kepada kerajaan di atas pelanjutan insentif pengecualian cukai penjualan sehingga 30 Jun 2021, yang telah mendorong Kumpulan UMW mencatatkan penjualan yang meyakinkan pada bulan Januari.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mensasarkan bahawa jumlah keseluruhan industri (TIV) akan meningkat hampir 8% menjadi 570,000 unit pada tahun 2021, disokong oleh pertumbuhan KDNK yang diunjurkan antara 6.5% dan 7.5% pada tahun 2021 dan sokongan berterusan dari kerajaan.

UMWT dan Perodua akan terus fokus dalam memperkenalkan model baru dan kemaskini serta menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang terbaik dalam memenuhi kehendak dan harapan pelanggan untuk mencapai sasaran kami pada tahun 2021, katanya. – MalaysiaGazette