Home Nasional Tun M dakwa darurat halang rakyat tegur kerajaan

Tun M dakwa darurat halang rakyat tegur kerajaan

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggariskan sebanyak 12 salah laku yang didakwa telah dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Justeru itu, beliau mendakwa Muhyiddin telah hilang kelayakan sebagai Perdana Menteri.

“Alasan yang diberi olehnya bahawa merebaknya wabak Covid-19 memerlukan kuasa di bawah undang-undang darurat adalah satu pembohongan.

“Sejak darurat diisytihar tidak ada satu pun tindakan yang diambil dalam membanteras wabak Covid-19 yang hanya dapat dilakukan di bawah undang-undang darurat,” katanya dalam kenyataan khasnya hari ini.

Mahathir juga berkata, dakwaan Covid-19 perlu ditangani di bawah undang-undang itu satu pembohongan dan menganggap Muhyiddin menggunakan undang-undang itu untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

Malah Pengerusi Penaja Parti Pejuangan Tanahair (Pejuang) itu mendakwa, Muhyiddin menggunakan kuasa darurat untuk menggantung sidang Dewan Rakyat supaya kedudukannya kekal.

“Ketujuh, warta Kerajaan mengguna nama Yang di-Pertuan Agong supaya Muhyiddin dilindungi. Salah laku kelapan adalah segala-gala didakwa sebagai kehendak Yang di-Pertuan Agong.

Kesembilan, termasuklah mengekal kuasa Perdana Menteri dan Kabinetnya,” kata Mahathir lagi.

Lebih daripada itu, Mahathir berkata, dengan pengekalan kuasa Perdana Menteri, maka hak untuk menasihat Yang di-Pertuan Agong dikekalkan.

Ini bermakna apa sahaja yang dilakukan di bawah nama Yang di-Pertuan Agong adalah atas nasihat Perdana Menteri.

“Ini termasuk rampasan harta, nilai ganti rugi tidak boleh dipertikai, denda RM5 juta, penjara 10 tahun dan tidak boleh mempertikai segala tindakan melalui mahkamah.

“Ini menjadi kerajaan ini kerajaan kuku besi. Dengan mengguna nama Agong ia menggambarkan Agong sebagai diktator yang zalim. Sebaliknya, undang-undang ini diperbuat oleh kerajaan Muhyiddin,” katanya lagi.

Tambah Mahathir, pelaksanaan darurat dilihat menghalang kebebasan rakyat berpolitik dan menegur kerajaan.

Pada 12 Januari lalu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Muhyiddin dalam pengumuman khas darurat pada hari sama menjelaskan bahawa jemaah menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan proklamasi darurat bagi seluruh negara menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021. – MalaysiaGazette