Home Utama Jawatan utama PDRM kembali panas, Abdul Hamid jumpa PM minggu ini?

Jawatan utama PDRM kembali panas, Abdul Hamid jumpa PM minggu ini?

IGP
Nama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani bertiup kencang untuk mengisi kosongan jawatan Ketua Polis Negara.

KUALA LUMPUR – Desas-desus siapa bakal menerajui jawatan nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini kembali panas apabila Tan Sri Abdul Hamid Bador dikatakan bakal menamatkan kontraknya sebagai Ketua Polis Negara (KPN) pada Mei ini.

Sumber MalaysiaGazette memberitahu, nama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani bertiup kencang untuk mengisi kosongan jawatan KPN berikutan beliau antara paling senior serta berpengalaman dalam PDRM.

Manakala Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Datuk Zamri Yahya pula dikatakan calon yang bakal mengisi jawatan Acryl Sani.

Kata sumber, jawatan KPN dan timbalannya merupakan Jawatan Khas di bawah Perkara 140 (4) dan (5) Perlembagaan Persekutuan di mana pelantikan tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Difahamkan, Abdul Hamid sudah mula mengemas barang-barang di pejabat namun masih menjalankan jawatan sebagai KPN.

Beliau juga dilaporkan akan berjumpa dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis ini.

“Selain dua jawatan utama itu beberapa pegawai kanan dalam pasukan tersebut juga bakal meninggalkan pasukan tersebut dalam masa terdekat.

“Banyak nama dicalonkan tetapi semua pemilihan jawatan sensitif itu akan ditentukan oleh kerajaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed bakal bersara manakala Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Mohamed Farid Abu Hassan pula akan menamatkan kontraknya dalam beberapa bulan lagi.

Mengulas lanjut, sumber memberitahu tidak mustahil Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay bakal mengisi jawatan kanan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman memandangkan beliau juga antara yang hebat dalam melaksanakan tugas.

Abdul Hamid dilantik sebagai KPN menggantikan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang bersara wajib pada 4 Mei 2019.

Acryl Sani pula mengambil alih jawatan Timbalan Ketua Polis Negara daripada Datuk Mazlan Mansor pada 14 Ogos lalu. – MalaysiaGazette