KUALA LUMPUR – Pasukan Kelantan FC secara rasmi telah melancarkan jersi baharu pasukan untuk aksi Liga Premier musim 2021 secara atas talian menggunakan laman sosial Facebook mereka
Tiga jersi yang dilancarkan semalam iaitu jersi tuan rumah, pelawat dan alternatif telah berjaya membuatkan penyokong pasukan Kelantan teruja dengan rekaan yang diperkenalkan.
Ini kerana ia kena dengan citarasa mereka terutama dari segi warna serta penggunaan checkered box.
Berdasarkan video pelancaran dan juga maklumat yang dihebahkan, harga jersi Kelantan FC musim 2021 ini adalah RM189 untuk edisi premium termasuk sehelai mafla pasukan.
Untuk mereka yang mahu menambah nama dan juga nombor, tambahan sebanyak RM25.
Jersi hitam emas dilihat sebagai satu tarikan yang mungkin mampu menggugat jersi utama Kelantan FC berdasarkan komen-komen penyokong The Red Warriors selepas melihat pelancaran jersi tersebut yang kelihatan lebih elegan.
Jersi Kelantan FC kini boleh dibeli secara online melalui platform Shopee dan semua tempahan boleh dibuat secara pra-tempahan yang akan dihantar dalam tempoh 30 hari mengikut maklumat yang dipaparkan.
The Red Warriors musim ini diambil alih oleh Norizam Tukiman atau ZamSaham. – MalaysiaGazette