Home Nasional Mahkamah Tinggi tolak permohonan Najib tangguh bicara 1MDB

Mahkamah Tinggi tolak permohonan Najib tangguh bicara 1MDB

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjalan keluar dari mahkamah selepas perbicaraan kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. .Foto AFFAN FAUZI, 16 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang sedang berlangsung ketika ini ditolak Mahkamah Tinggi hari ini.

Dalam permohonan yang dikemukakan oleh peguambelanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah untuk memohon untuk menangguhkan perbicaraan sehingga Khamis ini.

Kata Muhammad Shafee, perkembangan kes 1MDB sedang melibatkan Goldman Sachs Group Inc di Mahkamah Persekutuan di Manhattan, New York mungkin mengejutkan serta perlu menunggu keputusannya terlebih dahulu.

Sebelum ini, Najib pada 17 November lepas juga memohon mahkamah Amerika Syarikat (AS) untuk membenarkan peguamnya melihat dokumen dan kenyataan daripada Goldman Sachs sebagai persiapan berhubung kes 1MDB.

Dalam pemfailan di Mahkamah Manhattan, pasukan guaman Najib memohon mahkamah untuk membenarkan sapina ke atas Goldman Sachs dan bekas pengerusi Asia Tenggara syarikat itu, Tim Leissner.

Leissner sebelum ini mengaku bersalah di Mahkamah Persekutuan di Brooklyn dan mengaku memberi rasuah kepada pihak berkuasa di Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu untuk bank berkenaan uruskan penerbitan bon.

Goldman Sachs sebelum ini bersetuju untuk membayar denda AS$2.3 billion dan mengaku bersalah.

Bagaimanapun permohonan penangguhan dengan alasan itu tidak diterima oleh Collin hari ini.

Sebaliknya kata Collin, ada baiknya untuk meneruskan prosiding sedang berlangsung untuk tiga hari ini dan apa sahaja perkembangan di mahkamah AS itu akan dipertimbangkan kemudian.

Jelas Collin dalam penghakimannya, beliau bersedia untuk membenarkan mana-mana saksi relevan atau fakta berkaitan ketika pemeriksaan balas kelak.

“Kita hanya ada tiga hari prosiding sahaja, memang saya simpati dengan situasi kamu tapi perbicaraan perlu diteruskan,” katanya.

 

Terdahulu kata Muhammad Shafee, perkembangan keputusan permohonan anak guamnya dalam isu Goldman Sachs itu penting bagi pasukan bela nanti.

“Sebelum ini ketika soal balas dengan saksi, Shahrol, saya pernah banyak kali tanya mengapakah semua arahan diikuti begitu daripada Jho Low.

“Isu yang sama juga dengan saksi Mohd Hazem yang juga mendedahkan yang terpaksa ikut semua yang diarahkan oleh Jho Low.

“Keputusan untuk untuk ketahui nama-nama pegawai dari 1MDB yang ambil rasuah itu penting lagi-lagi jika ianya saksi seperti Shahrol Azral dan Mohd Hazem yang sedang beri keterangan ketika ini, seluruh perspektif kes ini juga akan berubah.

“Kerana itu kita perlukan penangguhan. Selain itu, pihak kami juga ketika ini sedang menyiapkan diri untuk kes rayuan SRC International Najib yang tarikh akhir adalah Mac sebelum perbicaraan pada April ini. Mohon dipertimbangkan,” jelas Muhammad Shafee.

 

Prosiding kemudian bersambung dengan saksi ke-10, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman kemudian bersambung ketika sehingga petang.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan didakwa atas empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. -MalaysiaGazette