BUTTERWORTH – Taktik sekumpulan individu berselindung di sebalik kedai kopi bagi melakukan pertaruhan judi mahjong gagal mengaburi pihak polis selepas premis di Jalan Tamby Kecil itu diserbu pada petang tadi.
Ops Limau bermula jam 2 petang itu membawa kepada tangkapan sembilan pemain termasuk seorang warga emas berusia 84 tahun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, bertindak atas maklumat dan risikan pihak polis menyerbu kedai kopi tersebut.
Katanya, dua wanita dan tujuh lelaki berusia lingkungan 44 hingga 84 tahun diberkas ketika sedang leka bermain judi mahjong.
“Hasil soal siasat mendapati kegiatan judi itu dilakukan sejak hari pertama sambutan Tahun Baru Cina.
“Dalam serbuan itu, kita juga merampas wang tunai RM4,178 dipercayai hasil kegiatan judi, cip pelbagi warna, kertas dan dadu mahjong serta peralatan lain untuk berjudi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya lagi, kesemua sembilan suspek itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 serta dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana gagal mematuhi peraturan Perintah Kawalan Pergerakan.
“Selain itu, pihak polis turut mengeluarkan kompaun RM1,000 terhadap tiga individu yang berkumpul di premis berkenaan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette