KUALA LUMPUR – Bagi menarik minat para pelajar menonton program DidikTV yang disiarkan di saluran NVT7, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyuntik elemen-elemen selain daripada pembelajaran di sekolah.
Menurut menterinya, Datuk Dr Radzi Jidin, program-program seperti Didik Hibur dan program-program antarabangsa turut dimuatkan dalam saluran itu bagi memastikan ia tidak menjurus kepada aspek pembelajaran semata-mata.
“Kandungannya kita pastikan supaya bukan sahaja dapat menarik minat murid tapi membolehkan mereka dapat ilmu, apabila kita bercakap ilmu ini tidak terhad kepada mata pelajaran, banyak perkara yang murid boleh belajar.
“Ia bukan sahaja kurikulum dan kokurikulum tetapi program lain seperti Didik Hibur dan juga ada program antarabangsa yang kita akan turut sama masukkan dalam DidikTV ini bagi membolehkan selain daripada belajar, mereka dapat melihat dunia dengan lebih luas dan mempelajari kemahiran,” katanya dalam tembual di Malaysia Hari Ini (MHI) yang disiarkan selepas pelancaran DidikTV oleh Perdana Menteri hari ini.
Menurut Radzi, para pelajar perlu kepada elemen lain dalam pembelajaran supaya saluran yang bermula jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam itu tidak membosankan.
Oleh yang demikian, penglibatan pelajar turut akan dimuatkan dalam program-program lain yang akan disiarkan dalam DidikTV.
“Ruang untuk anak-anak ini menunjukkan bakat mereka, kita akan ada wartawan kadet untuk bagi ruang bagi mereka menunjukkan bakat mereka. Mungkin akan ada siaran yang turut sama disediakan bagi murid.
“Jadi kita nak bawa mereka bersama-sama untuk menjadi sebahagian daripada komuniti DidikTV KPM supaya bukan dilihat sebagai program belajar macam di sekolah tapi untuk mereka lihat ini ruang untuk mendapat ilmu yang baik.
“Kami di KPM berusaha untuk menyusun setiap program itu mempunyai manfaat jelas kepada murid dan beri ruang kepada mereka untuk mendapat satu pandangan dunia yang menyeluruh,” katanya lagi.
Namun begitu, DidikTV masih lagi akan memfokuskan kepada pembelajaran yang menjadi fokus utama saluran DidikTV kepada masyarakat, katanya.
“Penumpukan kita adalah untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan SPM.
“Jadi kita ingin beri ruang kepada mereka untuk mendapat peluang mendengar atau belajar daripada guru-guru berpengalaman untuk membantu mereka membuat persediaaan untuk SPM,” jelas Radzi lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: