KUALA LUMPUR – Mana-mana individu yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa pemeriksaan polisĀ merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang yang sedia ada.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kesalahan itu membolehkan seseorang individu boleh diambil tindakan tegas.
Beliau mengulas mengenai kenyataan sebuah portal berita yang mendakwa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berhak untuk menahan atau menangkap mana-mana individu yang gagal membawa atau mengemukakan dokumen pengenalan diri ketika diperiksa.
“PDRM ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut bercanggah dengan peruntukan di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara (PPPN) 1990.
“Kegagalan mana-mana individu mengemukakan dokumen pengenalan diri semasa diperiksa oleh pihak polis adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 25(1)(n) PPPN 1990 dan boleh ditangkap tanpa waran di bawah peraturan yang sama,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, hukuman yang boleh dikenakan dalam kesalahan itu adalah penjara selama tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
“PDRM mengingatkan orang ramai agar sentiasa membawa dokumen pengenalan diri sebagaimana peruntukan yang ditetapkan di bawah Peraturan 6 PPPN 1990.
“PDRM juga menasihatkan orang ramai agar memberi kerjasama kepada pihak polis semasa pemeriksaan dijalankan,” tegasnya.-MalaysiaGazette