KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin menetapkan dasar Satu Vaksin, Satu Vaksin Simpanan, bagi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Dasar berkenaan selari dengan saranan pengeluar vaksin yang menetapkan tempoh 21 hari bagi suntikan vaksin dos kedua, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, .
“Apabila kita terima (suntikan) vaksin, kita kena simpan satu dos untuk yang terima dos pertama dan disimpan di pusat simpanan vaksin Kementerian Kesihatan.
“Kita tidak guna pendekatan seperti di negara luar, contohnya United Kingdom (UK). Mereka lanjutkan tempoh terima suntikan dos kedua AstraZeneca dari sebulan sehingga sekarang antara sembilan hingga 12 minggu.
“Ini kerana, pendekatan di UK adalah untuk beri seramai mungkin, sekurang-kurangnya satu dos, tetapi di Malaysia kita tak mengambil pendekatan berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berkata, pihaknya menerima persetujuan Menteri Dalam Negeri untuk menggunakan khidmat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pusat simpanan vaksin.
“Kita akan hantar polis untuk jaga keselamatan vaksin di pusat simpanan, selain percaya polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan turut bantu bagi proses penghantaran vaksin ke seluruh negara.
“Ini kerana, vaksin Covid-19 ketika ini adalah barang yang sangat bernilai,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk memenuhi keperluan vaksin bagi kegunaan dalam negara.
Setakat ini katanya, kerajaan belum memuktamadkan sebarang keputusan berhubung hala tuju negara untuk menjadi hab halal bagi vaksin Covid-19.
Jelasnya, antara fokus utama kerajaan adalah meneliti aspek kepakaran dan kapasiti penghasilan vaksin tempatan.
“Jangkaan untuk Malaysia menjadi hab halal pengeluaran vaksin bagi keperluan negara lain adalah perancangan jangka panjang.
“Pada masa sama, kita galakkan jika syarikat yang mahu bawa vaksin dari luar dan ada perjanjian tambahan untuk membina kilang, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan sebagainya.
“Sebab kita percaya Covid-19 ini bukanlah virus terakhir yang akan menyebabkan pandemik, akan ada virus lain dan kita akan sentiasa perlukan vaksin untuk virus lain.
“Ini adalah peluang bagi syarikat farmaseutikal dan bioteknologi tempatan untuk meningkatkan nilai tambah masing-masing,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau berharap, Malaysia mampu meningkatkan kapasiti kepakaran penghasilan vaksin tempatan, pada masa akan datang.
“Ketika ini, kita terpaksa beli semua vaksin dari luar. Kita tiada kapasiti pembuatan tempatan.
“Saya harap dengan pengalaman pembelian vaksin, R&D dan pemindahan teknologi, kalau berlakulah apa-apa pandemik di tahun mendatang, kita ada kapasiti menghasilkan vaksin sendiri,” jelas beliau. – MalaysiaGazette