KUALA LUMPUR – Pasukan Pengurusan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan bekerjasama secara bersepadu dengan pelbagai kementerian dan badan kerajaan bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan dengan lancar.
Menteri Teknologi, Sains, dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pasukan CITF yang diketuanya itu akan membuat laporan kepada jemaah menteri.
Selain itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr. Chong Chee Keong dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman turut dilantik untuk menyelia pasukan tersebut.
“Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN), MOSTI dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula akan bertindak sebagai urus setia CITF.
“CITF telah mengadakan mesyuarat pertama mereka pada 16 Februari lalu bagi memperincikan penyelarasan bidang tugas, struktur kerja dan perancangan keseluruhan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Dalam mesyuarat tersebut, MKN telah membentangkan kertas kerja berkaitan Pusat Kawalan CITF di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah serta mekanisma penyelarasan yang menghubungkan pelbagai peringkat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media me genai pengoperasian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang diadakan secara maya hari ini.
Dalam perkembangan lain, Khairy memaklumkan, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menambah perolehan bekalan vaksin satu dos suntikan daripada syarikat Johnson & Johnson (J&J).
Katanya, rundingan untuk mendapatkan bekalan vaksin daripada syarikat tersebut setakat ini menunjukkan perkembangan yang baik.
Tambah beliau, jawatankuasa bekalan vaksin juga telah memberikan persetujuan bagi mendapatkan vaksin berkenaan.
“Jadi, masih dalam rundingan dan saya difahamkan Kementerian Kesihatan (KKM) akan menandatangani kontrak untuk memperolehi (vaksin) dan selepas itu baru ia akan dihantar untuk penilaian NPRA,” ujarnya. – MalaysiaGazette