KUALA LUMPUR – Presiden UMNO hari ini meluahkan perasaannya mengenai pihak yang pernah cuba mengagalkan pemulihan parti.
“Mereka takutkan bayang-bayang. Mereka tahu ‘rumah agam’ UMNO sedang dipulih. Mereka takut dan resah mahu mengagalkan. Namun aku yakini kudrat ini tidak akan pernah berhenti,” kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Melalui kata-kata kiasan di media sosialnya, beliau mengimbas semula keperitan yang dihadapi selepas UMNO kalah dalam PRU-14.
“Tanggal 9 Mei 2018 musuh tertawa melihat ‘rumah agam’ UMNO roboh. Puas hati melihat ahli UMNO yang setia kesedihan. Yang kurang setia bagai ayam disambar helang.
“Takdir ilahi aku dipilih mengenggam bara api perjuangan memahat tiang agar kembali berseri.
“Jangan tuduh diri yang serakah. Air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam. Namun amanah dan baiah kepada Tuhan azimat penguat semangat,” tulisnya.
Ahmad Zahid juga menceritakan bagaimana diugut rakan-rakannya untuk meninggalkan saf selepas beliau menjadi presiden parti.
“Baru saja mula memahat diugut rakan supaya beredar atau ada yang akan meninggalkan saf. Tidak lama selepas beredar mereka mufaraqah jua. Ternyata cuma alasan. Ugutan itu dusta.
“‘Rumah agam’ lain tersedia. Buat apa susah-susah. Selamat tinggal mungkin kerana dirimu begitu berharga.
Itu mengikhtisarkan pengalaman enam bulan bercuti atau lepas jawatan bukan penyelesaian,” ujarnya.
Menurut Ahmad Zahid, sesiapa pun yang diamanahkan menerajui UMNO akan digasak meninggalkan parti.
“Sekembali memahat, diugut pula seteru supaya henti bertukang. Jika tidak ke dalam kau rasakan.
“Pedulikan. Aku percaya keagungan Tuhan. Maha Melihat, Maha Mengetahui, Maha Melindungi,” katanya.- MalaysiaGazette