NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 40 penumpang terbunuh dan beberapa mangsa dalam kemalangan melibatkan sebuah bas terjunam dalam terusan di Madhya Pradesh pada Isnin lalu masih lagi belum ditemui.
Setakat ini, seramai tujuh mangsa sahaja berjaya diselamatkan dalam kemalangan itu.
Ada antara mangsa sempat berenang untuk menyelamatkan diri dan kemalangan itu berlaku berhampiran kampung Patna di daerah Sidhi, kira-kira 493 kilometer sebelah timur Bhopal.
Menurut pihak berkuasa, pemandu bas tersebut telah hilang kawalan sehingga menyebabkan kemalangan di mana bas telah tenggelam sepenuhnya di dalam empangan.
“Antara mangsa yang terlibat adalah 21 lelaki, 18 wanita dan seorang kanak-kanak,” ujar seorang petugas mencari dan menyelamat.
Pihak berkuasa telah menghentikan air ke terusan dari empangan Bansagar berdekatan untuk membantu usaha menyelamatkan semua mangsa yang masih hilang.
Mengulas lanjut, pegawai berkenaan mengatakan sepasukan anggota keselamatan telah dikerahkan ke tempat kejadian dengan bantuan kren bagi membawa keluar bas itu dari terusan.
“Pencarian untuk mengesan mangsa yang hilang sedang dilakukan. Dilaporkan lebih dari 50 orang berada di dalam bas, jumlah korban kemungkinan akan meningkat,” tegasnya.
Sementara itu, orang ramai termasuk keluarga dan saudara mangsa mula berkumpul di sepanjang tebing untuk melihat kerja-kerja menyelamat dan mengumpulkan mayat.
Ketua Menteri Madhya Pradesh, Shivraj Singh Chouhan telah menyatakan kesedihan atas kejadian yang berlaku sambil menyifatkannya sebagai satu tragedi.
“Saya telah mengarahkan dua menteri ke tempat kejadian untuk mengawasi kerja menyelamat dan mengetahui keadaannya dari semasa ke semasa.
“Kerajaan tempatan juga turut menangguhkan semua peristiwa besar di negeri ini,” katanya.
Siasatan awal yang dilakukan oleh polis menunjukkan kenderaan yang mempunyai 32 tempat duduk itu membawa seramai 54 penumpang ketika kejadian.
Kerajaan tempatan juga telah memerintahkan polis supaya melakukan siasatan terhadap kemalangan tersebut.
Kemalangan jalan raya yang mematikan adalah perkara biasa di India di mana sering terjadi disebabkan oleh muatan yang berlebihan serta keadaan jalan raya yang buruk dan memandu secara melulu. -MalaysiaGazette