Home Politik Pemuda UMNO serah kompilasi suara rakyat kepada Timbalan Menteri Kewangan

Pemuda UMNO serah kompilasi suara rakyat kepada Timbalan Menteri Kewangan

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menyampaikan suara dan pandangan rakyat mengenai  i-Sinar dan moratorium pinjaman bank dalam bentuk dokumen, kepada Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah.

Ketuanya Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, suara rakyat yang diterimanya daripada Sekretariat Suara Rakyat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melalui talian Hotline Pemuda dan Facebook.

Kompilasi itu mengandungi 198 muka surat.

”Kami Pemuda UMNO memanfaatkan semua saluran yang ada sama ada secara terbuka melalui media sosial, yang Alhamdulillah turut mendapat perhatian bukan sahaja media massa perdana dan pihak kerajaan sendiri, juga secara tertutup atau istilah segelintir pihak pendekatan ‘Berbisik’ kepada Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri berkenaan,” katanya yang menyerahkan dokumen kompilasi itu pada pagi tadi.

Dok

“Apa yang mustahak, suara hati dan segala permasalahan rakyat dapat didengar, diangkat dan diambil kira oleh kerajaan dan pihak wewenang untuk diambil tindakan sewajarnya dalam suasana pandemik yang begitu menekan dan meresahkan rakyat ketika ini,” tambah beliau.

Asyraf selain itu menyifatkan, Shahar yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO, memainkan peranan penting sebagai medium suara rakyat sampai kepada kerajaan.

“Ramai mungkin tidak menyedari YB Shahar antara susuk yang banyak memainkan peranan menyampaikan suara hati dan denyut nadi rakyat bagi pihak Pemuda UMNO di dalam Kerajaan melalui Kementerian Kewangan sejak dari awal perjuangan Pemuda UMNO untuk pelbagai isu rakyat termasuk KWSP dan Moratorium,”katanya lagi.

Untuk rekod, Pemuda UMNO antara pihak yang lantang dan konsisten memperjuangkan isu i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium. – MalaysiaGazette