Home Politik Puad, jangan manipulasi cerita isu fitnah PM – Shahni

Puad, jangan manipulasi cerita isu fitnah PM – Shahni

Ketua Bahagian Bandar Tun Razak Mohd Shahni Ismail foto MOHD ADZLAN, 1 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Dalam keadaan pandemik serta tidak ketidaktentuan ekonomi masih ada pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Itu kekesalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bandar Tun Razak, Mohd. Shahni Ismail yang menganggap kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Puad Zakarshi baru-baru ini telah mencetuskan kebimbangan umum.

“Bagus tindakan Perdana Menteri yang bertindak tegas mengemukakan tuntutan maaf secara terbuka dan membayar ganti rugi sebanyak RM10 juta kerana didakwa memfitnahnya,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurutnya, Muhyiddin ternyata tidak berkompromi dengan perbuatan Puad yang sesuka hati mengeluarkan kenyataan tanpa berfikir apa kesannya.

“Saya mohon supaya Puad jangan lari, jangan cuba manipulasi atau ‘macam-macam’. Hadapi kenyataan tuntutan ini, lain kali sebelum buat tolong fikir terlebih dahulu.

“Apa yang dilakukan oleh anda sebagai pemimpin politik yang begitu berpengalaman dan sudah bergelumang dalam politik pastinya langsung tidak boleh diterima.

“Ingatlah sikit, rakyat dalam keadaan tertekan dan penuh kebimbangan, bila keluar kenyataan sesuka hati begini, adakah anda fikir apakah tekanan perlu dilalui oleh mereka pula? Malah tindakan kamu cuba memfitnah seorang Perdana Menteri, apakah ini bagus? Cukup-cukuplah,” katanya.

Semalam dalam surat tuntutan dihantar firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership kepada Mohd Puad hari ini, Muhyiddin, antara lain, menuntut Mohd Puad memadam kenyataan bertarikh 9 Februari lalu mengenai kuarantin dari laman Facebooknya.

BACA: Muhyiddin minta Puad Zarkashi mohon maaf, ganti rugi RM10 Juta

Tuntutan itu dibuat terhadap kenyataan Mohd Puad bahawa Muhyiddin enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi dari Jakarta pada 5 Februari lalu sehingga kerajaan terpaksa mewartakan perintah kuarantin tiga hari terhadap menteri.

Baru-baru ini Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh Mohd Puad kononnya perintah kuarantin tiga hari untuk menteri yang melakukan lawatan ke luar negara diwartakan oleh kerajaan kerana Perdana Menteri enggan dikuarantinkan sekembalinya dari lawatan rasmi ke Indonesia.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Puad akan jawab isu tuntutan maaf dari Muhyiddin