Home Politik RUU berkaitan gangguan seksual satu berita baik – Mohana

RUU berkaitan gangguan seksual satu berita baik – Mohana

KUALA LUMPUR – Pengumuman Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat  berhubung satu rang undang-undang (RUU) berkaitan gangguan seksual dijangka siap Mac ini wajar dialu-alukan.

Malah Datuk Seri Rina Mohd Harun juga menyatakan RUU itu yang kini dalam penelitian peringkat akhir Jabatan Peguam Negara dan akan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Bekas Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy menyambut baik usaha kerajaan memandangkan pihaknya sentiasa berjuang dalam isu berkenaan dan merasakan ramai wanita sengsara kerana tidak mempunyai pilihan lain selain mendiamkan diri walaupun menjadi mangsa gangguan seksual.

Jelas beliau, ini kerana tiada undang-undang khas gangguan seksual yang melindungi mangsa.

“Pastinya perundangan khusus seperti ini mampu berikan kelegaan serta melindungi mangsa yang selama terpaksa melalui trauma kerana tidak ada sesiapa mampu berjuang untuk mereka.

“Tidak kisahlah siapa mangsanya, wanita mahupun lelaki kerana gangguan seksual itu serius, jelik, menggerunkan serta berada ditahap membimbangkan.

“Isu ini juga banyak berlaku ditempat kerja yang mana pelakunya adalah majikan atau seseorang yang berpangkat sehingga memaksa mangsa diam sahaja, selain itu kes begini juga berlaku di tempat awam serta lain-lain, semua ini tidak boleh diabaikan begitu sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mohana juga meminta pihak berwajib tidak tertinggal apa-apa aspek serta bentuk gangguan termasuklah psikologi, mental, fizikal, gangguan melalui gambar jelik mahupun kata-kata lucah, video atau apa sahaja cara pelaku membuat gangguan tersebut.

Dalam pada itu, beliau juga memohon supaya pelaksanaan akta gangguan seksual dapat memberikan pengadilan saksama kepada mangsa selain tidak melibatkan apa-apa ancaman mahupun kos.

“Paling penting, privasi itu terjaga. Tolong, itu sangat penting. Ramai takut kerana privasi mereka tercabul. Kita hendak lihat pelaksanaan undang-undang ini disegerakan,” ujarnya.

Sejak beberapa hari lepas kritikan serta desakan beberapa pihak termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bagi mempercepatkan pembentangan RUU tersebut. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Siasat segera dakwaan gangguan seksual terhadap wanita – Rina Harun