Home Ekonomi BDB Hotels dijadikan apartmen servis

BDB Hotels dijadikan apartmen servis

BDB Hotels

KUALA LUMPUR – Setelah beroperasi hampir 15 tahun, BDB Hotels yang terletak di Bandar Darulaman, Jitra akan menukar konsep perhotelan kepada apartment servis memandangkan lesen perniagaannya akan tamat dalam masa terdekat.

Naib Presiden II dan juga Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Mohd Sobri Hussein berkata, perubahan konsep daripada hotel sebelum ini kepada perniagaan apartment servis merupakan inisiatif untuk mengharungi cabaran semasa yang dihadapi oleh industri perhotelan disebabkan oleh penularan pandemik Covid-19.

”Sebelum ini BDB Hotels menawarkan bilik penginapan dan juga chalet kepada para pelanggan tetapi konsep baharu ini akan menyaksikan 72 pangsapuri akan dibuka untuk dijual atau disewa kepada orang awam yang berminat untuk membeli dan menyewa,” katanya.

Untuk rekod, BDB Hotels mula beroperasi pada tahun 2006 dengan menawarkan lebih 100 bilik penginapan dan juga chalet.

Di samping itu, ia turut menyediakan dewan mesyuarat yang boleh menempatkan 300 peserta pada satu-satu masa dan juga kolam renang yang luas kepada para tetamu.

Tambah Mohd Sobri lagi, perubahan konsep berkenaan tidak akan menjejaskan pekerjaan para pekerja BDB Hotels, yang mana mereka akan ditempatkan di anak-anak syarikat Kumpulan BDB yang lain bagi menjamin kebajikan mereka tidak terjejas.

”Kumpulan BDB juga berharap rancangan ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan diharapkan ianya akan memberikan kebaikan kepada seluruh syarikat dan juga para pekerja,” katanya. – MalaysiaGazette