Home Dunia Buktikan jika Sheikha Latifa masih hidup

Buktikan jika Sheikha Latifa masih hidup

Sheikha Latifa

LONDON – Britain mencabar Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk menunjukkan bukti bahawa Sheikha Latifa, salah seorang anak perempuan kepada pemerintah Dubai masih hidup.

Permintaan itu dibuat selepas Latifa menerusi mesej video dari bilik air mendakwa dia dikurung dalam sebuah vila.

Ssusulan itu, nasib Latifa, 35, dan hubungannya dengan ayahnya, Sheikh Mohammed bin Rashid al-Maktoum, kembali menjadi tumpuan baharu dalam kempen antarabangsa untuk membebaskan puteri tersebut.

Dubai kini berada di bawah tekanan antarabangsa untuk membebaskan Latifa.

Latifa pernah cuba melarikan diri pada tahun 2018 tetapi telah ditangkap oleh unit komando dari India.

Menteri luar negeri Britain, Dominic Raab berkata, video Latifa, yang didakwa dijadikan tebusan adalah membimbangkan kerana menunjukkan seorang wanita dalam keadaan sukar.

“Mengingat apa yang baru saja kita lihat, saya rasa hanya orang yang ada rasa kemanusian mahu melihat dia hidup dan sihat,” kata Raab.

Dalam video yang ditunjukkan daripada program Panorama BBC, Latifa berkata: “Saya adalah seorang tebusan dan vila ini telah ditukarkan menjadi penjara”.

“Setiap hari saya risau akan keselamatan dan nyawa saya,” katanya dalam mesej video dari bilik mandi di vila berkenaan.

Latifa memberitahu, pengawal-pengawal memberitahu dia akan ditahan sepanjang hidupnya dan “tidak akan melihat matahari lagi”.

Reuters tidak dapat mengesahkan bila atau di mana video tersebut dirakam.

Situasi Latifa itu turut mendapat perhatian daripada Perdana Menteri Britain, Boris Johnson yang mahu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melihat situasi tersebut. – MalaysiaGazette