KUALA LUMPUR – Mahkamah Kanak-Kanak di Jalan Duta hari ini memerintahkan hak penjagaan sementara kanak-kanak yang didera dan dijadikan buruh paksa di Setapak, di sini oleh bapa kandung dan ibu tirinya kepada emak saudaranya.
G. Vickneswari, 36, memaklumkan bahawa beliau bersama suami, N. Sathis Kumar, 44, telah membawa mangsa yang berusia 11 tahun yang ditemani pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke Mahkamah Majistret pada pagi tadi bagi mendapatkan hak penjagaan itu.
Katanya, Timbalan Pendakwaraya telah mengemukakan Permohonan Perintah Jagaan Sementara di bawah Sub Seksyen 19(2), 25(2), 39(3) dan 42(3) Akta Kanak-Kanak 2001.
Tambah Vickneswari, beliau dan Sathis Kumar dinamakan sebagai penama tempat perlindungan selamat untuk kanak-kanak tersebut.
Dua majistret yang mendengar permohonan itu mengarahkan dan memerintahkan pasangan itu menerima kanak-kanak tersebut ke dalam jagaan sementara sehingga mangsa itu dibawa ke mahkamah pada 3 Mei ini.
Menurut Vickneswari, beliau berasa lega dan berpuas hati dengan keputusan itu.
“Dalam keputusan itu majistret mengarahkan selama tempoh dua bulan setengah ini kami diberi hak untuk menjaga kanak-kanak ini (anak buah) sepenuhnya selain menguruskan hal persekolahan dia.
“Sepanjang tempoh itu suspek (bapa dan ibu tiri) dilarang sama sekali menghampiri atau mengganggu kanak kanak ini.
“Kami juga diberi jaminan apabila hadir semula ke mahkamah selepas tempoh jagaan sementara sehingga Mei ini, akan dibenarkan hak penjagaan sehingga anak buah saya (mangsa) mencapai usia 18 tahun.
- Polis pandang serius kes dera, kanak-kanak jadi buruh paksa
- Polis sahkan laporan, siasat kes dera kanak-kanak jadi buruh paksa
“Pegawai JKM memaklumkan bahawa satu surat perintah jagaan tetap itu akan menyusul dari majistret kemudian, kami teruja dengan keputusan ini kerana anak buah saya diselamatkan daripada dianiaya lebih teruk,” ujarnya.
Sathis dan Vickneswari juga mahu memastikan kedua-dua suspek dihadapkan ke muka pengadilan selepas menganiaya mangsa selepas kanak-kanak itu kehilangan ibunya, yang merupakan kakak Vickneswari, pada 2018. – MalaysiaGazette