Home Ekonomi FGV penuhi permintaan domestik dengan inovasi bahan tanaman

FGV penuhi permintaan domestik dengan inovasi bahan tanaman

Kelapa pandan

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Berhad (FGV) salah satu pengeluar bahan tanaman terkemuka di Malaysia meningkatkan pengeluaran bahan tanaman pisang, buluh, kelapa dan padi untuk memenuhi permintaan domestik yang semakin meningkat bagi aktiviti pertanian tanaman.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, penggunaan bahan tanaman yang betul adalah salah satu faktor utama yang menentukan kejayaan pengeluaran tanaman secara komersial.

Peningkatan permintaan daripada pelanggan menunjukkan kemampuan FGV dalam menawarkan pelbagai produk berkualiti tinggi melalui penyelidikan kultur tisu secara mendalam, infrastruktur penyelidikan & pembangunan (R&D) yang canggih, serta pengalaman lebih 50 tahun dalam penyelidikan klonal.

Menurutnya, pengeluaran kepelbagaian klon pisang disasarkan sebanyak dua juta tahun ini, meningkat dua kali ganda daripada satu juta klon pisang tahun lalu yang dihasilkan untuk memenuhi peningkatan permintaan bagi spesies Berangan, Cavendish dan Tanduk.

Pengeluaran terus meningkat pada kadar 100 peratus setiap tahun sejak 2019 untuk memenuhi permintaan pasaran khusus pisang segar dan industri makanan berasaskan pisang.

Untuk bahan tanaman klon buluh, pengeluaran spesies buluh Betong disasarkan sebanyak satu juta menjelang tahun 2022 daripada jumlah semasa sebanyak 200,000.

Betong adalah jenis buluh yang paling terkenal secara komersial kerana kepelbagaian fungsi, antaranya sebagai bahan asas untuk pembinaan, hingga pemuliharaan tanah dan kawalan hakisan.

Buluh boleh menjadi sumber bahan mentah yang lestari kerana tempoh matang yang singkat dalam masa tiga hingga empat tahun, dan dapat bertahan hingga 100 tahun.

“Dengan pengeluaran komersial Betong, Pusat Inovasi FGV di Enstek, Negeri Sembilan menjadi makmal kultur tisu tanaman pertama di Malaysia yang berjaya menghasilkan anak benih klon buluh Betong secara besar-besaran,” kata Haris Fadzilah.

Selain Betong, penyelidikan klon FGV juga mensasarkan untuk menghasilkan bahan tanaman klon buluh baharu pelbagai Semantan menjelang tahun 2022.

Buluh Semantan dapat ditanam di seluruh Malaysia dan kegunaannya termasuk sebagai bahan asas untuk papan partikel, kraftangan dan aplikasi seperti penyepit makanan, pencungkil gigi dan lidi sate.

Sementara itu, FGV juga meningkatkan pengeluaran bahan tanaman kelapa pandan sebanyak 70,000 pada tahun 2021, peningkatan sebanyak 20,000 berbanding tahun lalu.

Pada masa ini, 70 peratus bahan tanaman yang dihasilkan dibekalkan untuk aktiviti penanaman dalaman FGV, sementara 30 peratus lagi dijual kepada pasaran domestik.

Selain spesies Pandan, FGV juga mensasarkan untuk menghasilkan 200,000 anak benih kelapa MATAG menjelang tahun 2025 selepas tempoh matang kebun benih kelapa seluas 50 hektar, yang terletak di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak di Jerantut, Pahang.

MATAG adalah baka hibrid yang disilangkan antara kelapa Malayan Yellow Dwarf (MYD) tempatan atau Malayan Red Dwarf (MRD) dengan kelapa Tagnanan Tall (TAG) yang berasal dari Filipina.

MATAG adalah varieti kelapa yang paling digemari, yang mana ia dapat menghasilkan hingga 25,000 lebih banyak kelapa sehektar setiap tahun berbanding pokok kelapa biasa.

Kelapa MATAG sesuai untuk menghasilkan air kelapa, santan dan minyak kelapa dara.

“Kami juga menawarkan perkhidmatan pengklonan kontrak untuk menghasilkan pelbagai bahan tanaman yang lain secara besar-besaran mengikut keperluan projek pertanian pelanggan atau penanaman ladang mereka.

“Bahan tanaman yang boleh diklon termasuk tanaman yang mempunyai nilai komersial dan sesuai untuk pembiakan mikro in-vitro. Antara bahan tanaman baharu yang memiliki nilai pasaran tinggi termasuk Vanila dan Guarana,” tambah Haris Fadzilah.

Bagi bahan tanaman padi pula, FGV telah memulakan penanaman kebun benih padi wangi MRQ76 seluas 28 hektar tahun lalu di Sungai Leman, Selangor dan Seberang Perak, Perak.

Benih MRQ76 yang ditanam dan dituai pada bulan Disember 2020 dan Januari 2021 akan digunakan untuk memulakan skim penanaman kontrak padi wangi fortified field FGV seluas 350 hektar, di bawah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) di Seberang Perak dan IADA Barat Laut, Selangor pada bulan Mac 2021. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pokok keranji pun boleh lah diklon kan supaya berbuah rendah macam pokok limau. Keranji juga jenis buah harga mahal dan pelbagai guna.

Comments are closed.