KUALA LUMPUR – Polis menahan empat individu, termasuk seorang gadis, kelmarin yang disyaki mengedar dadah di sekitar lembah Klang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, suspek yang berusia antara 23 hingga 25 tahun itu ditahan dalam kereta di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan, pihak polis telah berjaya merampas dadah disyaki jenis ganja anggaran berat 5.022 kilogram dan wang tunai RM450,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, hasil siasatan pada hari yang sama membawa polis ke sebuah kediaman mewah di di Jalan Sultan Ismail, di sini dan menemui ganja seberat 6.047 kilogram.
Menurut Adnan, hasil ujian saringan urin ke atas ketiga-tiga suspek lelaki positif dadah jenis THC manakala ujian ke atas suspek wanita adalah negatif.
Katanya, salah seorang suspek lelaki mempunyai dua rekod jenayah lampau.
“Dua suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bermula pada 17 hingga 23 Februari ini manakala, dua lagi suspek direman bermula 17 hingga 20 Februari ini di bawah seksyen yang sama.
“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” ujar.
Adnan berkata, hasil siasatan mendapati kesemua suspek bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan yang lalu.
Katanya, jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah adalah RM27,672 dan ia boleh dibekalkan kepada 11,069 orang pengguna dadah dan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan RM28,122. – MalaysiaGazette