KUALA LUMPUR – Pengurusan stesen radio Hot FM menamatkan kontrak penyampai, Shuk Sahar hari ini yang sebelum ini digantung kerja.
Pengurus Besar Kumpulan Audiens & Pemasaran Ripple, Anida Mohd Tahrim berkata, siasatan dalaman mendapati Shuk melanggar kontrak perkhidmatan sebagai penyampai Hot FM.
“Kontrak perkhidmatan Shuk sebagai penyampai radio di Hot FM ditamatkan berkuat kuasa hari ini.
“Shuk sudah dimaklumkan mengenai hal ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini, perkhidmatan Shuk atau nama sebenar, Mohammad Shukri Mohamed Sahar, digantung pada 24 Januari lalu bagi memberi ruang kepada pengurusan Hot FM membuat siasatan dalaman terperinci terhadap isu dirinya yang tular dalam media sosial.
Sebelum ini, Shuk mengendalikan segmen Geng Pagi Hot (GPH) bersama Fizie dan Shuib.
Shuk juga mengacarakan program hiburan terbitan TV3 seperti I Can See Your Voice Malaysia dan Jenaka Kampung Kalut (JKK).
Baru-baru ini, pergolakan rumah tangga Shuk kembali hangat diperkatakan apabila isterinya, Rossalennah Natassyiah Asshaferah atau Sera, mendakwa suaminya curang.
Menerusi beberapa entri yang dimuat naik di Instagram (IG), Sera mendedahkan suaminya masih menjalinkan hubungan cinta dengan wanita lain.
Shuk juga pernah dikaitkan dengan seorang wanita pada Julai tahun lalu.
Anida berkata, pengurusan Hot FM mengumumkan segmen GPH menampilkan wajah baharu mulai Isnin lalu, menerusi gandingan Fizie dan penyampai baharu, Mark Adam.
“Selepas Shuib berundur dari Hot FM, kami sudah merancang untuk memberi ‘facelift’ kepada GPH dengan kemasukan Mark.
“Reputasi Mark sebagai penghibur versatil memberi nafas segar untuk segmen GPH.
“Harapan kami agar pendengar terus menyokong Hot FM. Kami menjanjikan pengisian terbaik buat semua khususnya pendengar setia Hot FM,” katanya.
Pendengar boleh ikuti telatah gandingan baharu GPH bersama Fizie dan Mark setiap Isnin hingga Jumaat bermula 6 pagi hingga 10 pagi. – MalaysiaGazette