KUALA LUMPUR – Sekitar jam 7 pagi lagi sudah kelihatan sekumpulan media berlegar-legar sekitar perkarangan serta lobi Mahkamah Jalan Duta untuk melaporkan keputusan mahkamah berhubung kes rasuah membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor pagi ini.
Malah ada beberapa media antarabangsa yang tidak sempat memohon pas khas yang dikeluarkan untuk kes berprofil tinggi sempat ‘merayu’ dengan pengawal keselamatan di lobi mahkamah.
Bagaimanapun, mahkamah juga telah menetapkan garis panduan ketat berikutan penularan pandemik Covid-19 terutamanya bagi memastikan penjarakkan sosial dapat dipatuhi.
Selalunya untuk kes seumpama ini, pastinya ramai sudah berkerumun di perkarangan mahkamah seperti kes-kes berprofail tinggi yang lain namun penularan wabak Covid-19, banyak peraturan telah diberikan perhatian oleh pengurusan Mahkamah Jalan Duta.
Mahkamah Tinggi hari ini akan membuat keputusan sama ada akan memanggilnya untuk membela diri terhadap pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak, atau membebaskannya.
Rosmah yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini berdepan dengan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan akan membuat ketetapan sama ada memanggil Rosmah untuk membela diri terhadap pertuduhan itu atau membebaskannya.
Mohamed Zaini dijangka memberikan keputusan sekitar 9 pagi ini selepas mendengar penghujahan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram dan peguam-peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dan Datuk Jagjit Singh yang mewakili tertuduh.
Untuk makluman, beberapa kes berprofil tinggi yang rata-ratanya membabitkan pemimpin telah habis dibicarakan serta keputusan di peringkat mahkamah Tinggi sudah diumumkan, antaranya kes SRC International yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak.
Selain itu, juga keputusan kes Tan Sri Isa Samad dan juga Datuk Seri Tengku Adnan yang masing-masing kini menunggu perbicaraan kes di peringkat Mahkamah Rayuan.
Manakala kes berprofil lain yang masih dibicarakan pula antaranya melibatkan nama besar seperti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Aziz Rahim, Datuk Seri Ahmad Maslan, Datuk Seri Bung Mokhtar juga Lim Guan Eng semuanya terpalit dengan kes rasuah serta salah guna kuasa.
Najib juga masih menghadapi prosiding kes 1MDB.
Berbalik kepada kes solar Rosmah yang keputusannya sebentar lagi, bagi pertuduhan pertama, Rosmah didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Saidi.
Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini antara Mac dan April 2016.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jejak Holdings mendapatkan projek itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 September 2017.
Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi. -MalaysiaGazette