Home Nasional MAPIM pertikai pembukaan semula kasino, pusat judi

MAPIM pertikai pembukaan semula kasino, pusat judi

Mohd Azmi Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mempersoalkan tindakan kerajaan yang membenarkan pembukaan semula kasino dan pusat perjudian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, judi merupakan industri yang memberi kesan negatif kepada masyarakat.

Justeru, tegas beliau, usaha yang sepatutnya dilakukan adalah membentaras industri judi.

“Kami berpendirian soal industri judi berlesen perlu diberi hak beroperasi, bukan alasan.

“Kami kesal tatkala seluruh dunia dan rakyat bergelut untuk kesinambungan hidup dan mencari jalan untuk mengatasi pandemik Covid-19 tiba-tiba kerajaan melayani permintaan industri judi untuk beroperasi semula,” katanya menerusi kenyataan.

Tidak mendiskriminasi sektor tertentu, sebaliknya menurut Mohd Azmi, kerajaan sepatutnya membuat pilihan tepat dalam memilih perkhidmatan yang perlu kembali beroperasi dalam waktu pandemik Covid-19 ini.

“Tatkala masyarakat Islam sering diingatkan faktor diturun bala dari Tuhan adalah akibat kemungkaran yang dihalalkan, kenapa kerajaan memberi mesej yang sangat kontradik bila industri judi boleh beroperasi tetapi dalam masa yang sama jamaah masjid dan surau dibataskan sehingga hari ini.

“Sepatut kerajaan mengingatkan kepada rakyat, inilah masanya suatu anjakkan dilakukan untuk mengikis semua budaya hidup tidak sihat seperti judi.

“Ini bukan soalan memilih sektor mana yang dibenarkan beroperasi semula atau ia bukan perkhidmatan yang perlu atau tidak ketika Covid-19,” tambahnya.

Justeru MAPIM menuntut kerajaan membatalkan keputusan pengoperasian semula kasino dan pusat perjudian.

Semalam, syarikat pengendali kasino, Resort World Genting (Resort World), serta syarikat nombor ramalan mengumumkan mereka kembali operasi selepas mendapat kebenaran daripada kerajaan.

Pengumuman itu dibuat Resort World bersama syarikat Sports Toto, Magnum Bhd dan Pan Malaysian Pools Sdn Bhd (Da Ma Cai) melalui media sosial serta laman sesawang masing-masing.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.