Home SISWA UKM jalin kerjasama dengan JAHEAIK

UKM jalin kerjasama dengan JAHEAIK

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni & Masyarakat UKM, Prof. Datuk Dr. Imran Ho Abdullah, kiri, dan Prof Madya Dr Jaffary Awang, Pengerusi Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah Fakulti Pengajian Islam menunjukkan dokumen MoU dan MoA yang telah ditandatangni.

KUALA LUMPUR – Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA).

Kerjasama tersebut melibatkan penyelidikan berkenaan Kesejahteraan Masyarakat Kelantan berasaskan Pelan Induk Transformasi Ummah (PINTU) dalam meningkatkan kualiti penyampaian dan pentadbiran Islam JAHEAIK.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni & Masyarakat UKM, Prof. Datuk Dr. Imran Ho Abdullah berkata, kerjasama penyelidikan itu menandakan komitmen padu antara kedua-dua pihak dalam meningkatkan penanda aras perkhidmatan kepada masyarakat awam.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni & Masyarakat UKM, Prof. Datuk Dr. Imran Ho Abdullah menandatangani dokumen Mou dan MoA antara UKM dengan JAHEAIK

“Saya percaya melalui perkongsian kepakaran, pengalaman dan pengetahuan, kedua-dua pihak mampu mempertingkatkan kualiti kehidupan masyarakat.

“Pengalaman JAHEAIK dalam bidang perkhidmatan, pentadbiran dan pengetahuan dengan disenergikan kepakaran dalam bidang pengetahuan, penyelidikan dan perundingan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah dapat memberi keyakinan yang lebih menyerlah terutamanya imej kedua-dua pihak dari perspektif masyarakat awam,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, UKM amat berbangga kerana kerjasama tersebut akan menjadi penghubung antara universiti, agensi awam dan juga masyarakat.

“Melalui perkongsiaan ini, saya percaya pihak universiti dapat menimba maklumat dan pengalaman yang berguna dalam terus mempertingkatkan kualiti pendidikan dan perundingan serta penyelidikan,” ujarnya.

Imran Ho berkata, maklumat yang diperolehi hasil penyelidikan itu juga pastinya akan membantu, khususnya JAHEAIK dalam melaksanakan tugas pentadbiran Hal-Ehwal Islam secara lebih mantap.

Katanya, gabungan strategik antara UKM dan JAHEAIK diyakini mampu meningkatkan citra dan aspirasi kedua-dua agensi dalam rangka memartabatkan ilmu dan pengetahuan berasaskan penyelidikan yang terancang.

Sementara itu, Pengarah JAHEAIK, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, kerjasama tersebut adalah kerjasama strategik antara kedua-dua institusi dalam meningkatkan pengetahuan ilmu pegawai di JAHEAIK bagi melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi serta meningkatkan kebolehpasaran pegawai.

“Selain itu, kerjasama ini juga akan meningkatkan hubungan antara JAHEAIK dengan UKM dalam berkongsi ilmu,” ujarnya. -MalaysiaGazette