KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) menyambut baik agenda pemerkasaan digital yang direncanakan menerusi pelancaran MyDIGITAL dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia hari ini.
Ketua Penerangan ARMADA, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir berkata, ia selaras perkembangan kemajuan teknologi global dalam negara kita mendepani Revolusi Industri IR4.0 untuk memastikan masyarakat dapat berkembang selaras perkembangan teknologi semasa.
“Inisiatif MyDIGITAL yang berhasrat untuk memperkasakan setiap rakyat Malaysia bagi memperbaiki kehidupan mereka dalam setiap aspek.
“Idea ini merangkumi pelan untuk meningkatkan literasi digital, menjadikan urusan perbankan dan kewangan lebih mudah dan teratur, memberikan akses pendidikan secara maya kepada pelajar, membawa kemudahan perubatan ke pekan terpencil sebegitu menepati hasrat kerajaan dalam mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pun begitu, menurut Mohd Ashraf Mustaqim, ARMADA menyambut baik pelan tindakan yang dijangka mencapai sasaran pada tahun 2025 meliputi keperluan rakyat, pembangunan ekonomi dan pemerkasaan sektor kerajaan.
“ARMADA berharap keghairahan ini menepati keperluan untuk memastikan akses internet adalah menyeluruh ke segenap ceruk dalam negara.
“Kita tidak mahu lagi mendengar rintihan permasalahan seperti yang dialami oleh adik Veveonah dan hanya bersifat reaktif menyelesaikan sesuatu hal atas permasalahan yang timbul,” katanya.
Menurutnya, mungkin ada keperluan untuk menaiktaraf rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi kepada 5G seperti keyakinan yang diberikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadikan Malaysia sebagai antara negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G menggunakan internet dan perkhidmatan awan dalam masa sebenar bagi membolehkan maklumat dikongsi serta-merta.
“Tetapi merujuk kepada hakikat keperluan, ARMADA lebih prihatin soal capaian supaya ianya menyeluruh ke segenap pelusuk biarpun sekadar pada kelajuan 3G/4G.
“Bukan tujuan untuk menggantikan teknologi semata, sebaliknya memastikan teknologi viable kepada seluruh masyarakat haruslah menjadi keutamaan.
Di samping itu selain akses yang menyeluruh, ARMADA berharap jalinan pihak kerajaan bersama syarikat telco dapat memastikan harga capaian Internet yang murah dan berpatutan buat seluruh masyarakat, katanya.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: