KUALA LUMPUR – Beberapa jam selepas portal Malaysiakini membuat rayuan ihsan orang ramai untuk membantunya mengumpulkan RM500,000, DAP hari ini tampil menyalurkan sumbangan sebanyak RM10,000.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, bantuan itu bagi membantu portal berita itu mengumpul dana untuk membayar denda selepas didapati menghina mahkamah.
“DAP akan menderma RM10,000 kepada Malaysiakini untuk membayar denda RM500,000.
“Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk menyumbang bagi membantu Malaysiakini membayar denda tersebut demi kebebasan media di negara kita,” kata Guan Eng.
Mahkamah Persekutuan hari ini mengenakan denda RM500,000 terhadap portal itu kerana menghina mahkamah dengan menerbitkan komen warganet menerima kritikan ramai pihak di media sosial.
Denda melebihi RM200,000 itu dicadangkan oleh Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan, dan syarikat itu diberikan tiga hari, mulai Isnin untuk menyelesaikannya.
Bagaimanapun, Ketua Pengarangnya, Steven Gan didapati tidak bersalah atas tuduhan menghina itu.
Malaysiakini sebelum ini menerbitkan komentar lima pembaca berhubung satu artikel bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1” pada 9 Jun, tahun lalu. – MalaysiaGazette