KUALA LUMPUR -Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz bersedia berhadapan dengan lembaga disiplin ekoran dakwaannya menentang presiden partinya.
“Baiklah, saya akan tulis surat jawapan dan akan berhadapan dengan Lembaga Disiplin (UMNO) seperti yang diarahkan.
“InsyaAllah, saya tetap akan berpegang kepada prinsip dan istiqomah dengan perjuangan… jika ini jalan yang perlu dilalui oleh mereka yang berani bersuara mempertahankan dasar parti, saya akan lalui jalan ini… mohon doa para sahabat dan para pejuang yang lain,” tulisnya dalam media sosialnya malam ini.
Pegawai kepada Menteri Wilayah Persekutuan itu diminta mengemukakan surat tunjuk sebab serta diarahkan hadir ke Tribunal Lembaga Disiplin UMNO.
Ini ekoran tindakannya yang membuat kenyataan terbuka menentang Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan perlu menjawab mengapa tindakan disiplin tidak boleh diambil terhadapnya, seperti laporan Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Tun Faisal, surat panggilan menghadiri tribunal itu ditetapkan pada 25 Februari ini yang diterima melalui panggilan telefon dan WhatsApp pagi tadi daripada Sekretariat Lembaga Disiplin UMNO.
“Saya baru baca tuduhan yang dibuat dan akan menjawab segala tuduhan itu melalui surat jawapan balas serta akan hadir ke tribunal itu pada Khamis depan.
“Saya sudah jangkakan perkara ini kerana telah mendengar cakap-cakap dua minggu lepas,” katanya dipetik dari laporan yang sama.
Menurut beliau, beliau telah maklum ada pihak yang membuat aduan itu dari salah sebuah Bahagian UMNO melalui satu perjumpaan supaya perkara itu diangkat ke Lembaga Disiplin UMNO.
Sebelum ini, Tun Faisal membuat kenyataan bahawa Ahmad Zahid sudah hilang kredibiliti dan mengkhianati parti selepas percubaan untuk membawa UMNO menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal beberapa kali.- MalaysiaGazette
Mengkritik presiden UMNO menjadi kesalahan, tetapi presiden yang mengkhianati perjuangan parti tidak menjadi kesalahan. Sepatutnya presiden parti yang perlu dihadapkan ke lembaga disiplin kerana memberi sokongan dan membuat SD secara persendirian menyokong Anwar Ibrahim. Dakwa presiden parti terlebih dahulu itu baru namanya ketelusan. Kalau mendakwa orang yang bercakap perkara benar, itu namanya menyembunyikan kebenaran.
Teruskan perjuangan Tun Faisal dan lain lain pemimpin yang berani berkata benar.