Home Ekonomi Malaysia sasar jadi peneraju serantau ekonomi digital – Mustapa

Malaysia sasar jadi peneraju serantau ekonomi digital – Mustapa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed bercakap pada Majlis Pelancaran MyDIGITAL & Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia yang disiarkan secara secara langsung di stesen televisyen dan Facebook Rasmi Unit Perancang Ekonomi di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia menggariskan tindakan yang akan dilaksanakan sehingga tahun 2030.

Jelas beliau, ia menetapkan visi untuk negara menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital dan mencapai pembangunan sosioekonomi yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan.

Menurutnya, rangka angka tindakan itu mengandungi tiga objektif dasar iaitu menggalakkan pemain industri menjadi pencipta dan pengguna model perniagaan yang inovatif.

Selain itu, ia juga akan melahirkan modal insan yang berupaya untuk berdaya saing dan memupuk ekosistem bersepadu yang akan membolehkan masyarakat mengambil bahagian dalam ekonomi digital.

“Enam teras strategik telah dikenal pasti iaitu memacu transformasi digital di sektor awam, meningkatkan daya saing ekonomi melalui digitalisasi dan membangunkan infrastruktur digital.

“Selain itu, teras lain adalah membangunkan tenaga kerja berkemahiran digital, mewujudkan masyarakat digital yang inklusif dan mewujudkan persekitaran digital yang terjamin dan beretika,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran MyDIGITAL & Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen dan Facebook Rasmi Unit Perancang Ekonomi di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mustapa menambah, pelaksanaan rangka tindakan itu dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa pertama untuk mengukuhkan asas penggunaan digital bermula tahun ini sehingga tahun depan.

Tambah beliau, fasa dua dari 2023 sehingga 2025 pula memacu transformasi digital yang inklusif dan fasa ketiga dari 2026 sehingga 2030 akan menjadikan negara sebagai peneraju serantau dalam bidang kandungan digital dan keselamatan siber.

“Kerajaan sedar betapa pentingnya diperkenalkan dasar khusus bagi memanfaatkan peluang daripada ekonomi digital.

“Dalam hubungan ini, Unit Perancang Ekonomi telah diberi mandat untuk menggubal Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

“Rangka tindakan ini mengambil kira pandangan dan input pelbagai pihak berkepentingan, termasuk rakyat jelata, industri dan agensi kerajaan. Ini  bagi memastikan rangka tindakan ini adalah komprehensif,” katanya.

Mustapa menambah, inisiatif MY Device juga akan diperkenal untuk memastikan semua pelajar di Malaysia mendapat akses kepada peranti digital bagi tujuan pembelajaran menjelang tahun 2025.

Jelas beliau, inisiatif ini akan dilaksanakan melalui kerjasama antara Kerajaan, swasta dan rakyat di mana data percuma akan diberikan kepada pelajar dari kumpulan yang mudah terjejas.

Ujarnya, menjelang 2030, Malaysia disasarkan untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital dengan kekuatan negara yang terdiri daripada pelbagai latar belakang budaya dan berbilang bahasa serta tenaga kerja yang mudah menyesuaikan diri dengan perubahan.

“Dalam menjayakan visi ini, tumpuan akan diberikan untuk mewujudkan perniagaan yang celik digital serta berjaya mengendalikan perkhidmatan dari peringkat awal ke akhir dan memacu inovasi yang berupaya untuk mengubah industri.

“Perniagaan akan dapat memanfaatkan pasaran yang lebih meluas melalui pendigitalan selain meningkatkan daya saing,” katanya.

Mustapa memberitahu, dalam sektor kerajaan, pihaknya amat komited untuk melaksanakan pendigitalan dengan meningkatkan lebih banyak perkhidmatan dari peringkat awal sehingga ke akhir ini.

“Perkhidmatan ini akan membolehkan rakyat berurusan dengan pejabat kerajaan tanpa perlu hadir secara fizikal, misalnya perkhidmatan di kaunter untuk pembayaran bil utiliti, cukai jalan dan sebagainya.

Penambahbaikan ini bukan hanya memudahkan rakyat berurusan dengan agensi kerajaan, tetapi juga dapat meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam serta ketelusan dan integriti penjawat awam,” katanya. – MalaysiaGazette