Home Utama MyDIGITAL: 4 prasarana libat pelaburan lebih RM70 bilion

MyDIGITAL: 4 prasarana libat pelaburan lebih RM70 bilion

Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin speaks during the virtual launch of MyDIGITAL and Malaysia Digital Economy Blueprint. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 19 FEBRUARY 2021.
Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin speaks during the virtual launch of MyDIGITAL and Malaysia Digital Economy Blueprint. PIX: HAZROL ZAINAL / MalaysiaGazette / 19 FEBRUARY 2021.

KUALA LUMPUR – Empat jenis prasarana digital penting di bawah inisiatif MyDIGITAL perlu dibina terlebih dahulu dalam usaha untuk merancakkan inovasi dan mewujudkan sebuah ekosistem digital yang berkesan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha pembinaan itu akan dilakukan menerusi pendekatan usahasama kerajaan dan swasta yang mana sektor swasta berkongsi menyumbangkan dana modal dan kemahiran.

Pertama, jelas beliau, sejumlah RM21 bilion akan dilabur sepanjang lima tahun melalui projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk memantapkan kesalinghubungan atau connectivity sedia ada.

“Rangkaian gentian optik talian tetap ini akan meliputi hampir 100 peratus kawasan berpenduduk secara berperingkat daripada 7.5 juta premis di hujung tahun 2022 kepada sembilan juta premis menjelang penghujung tahun 2025.

“Bersandarkan rangkaian gentian optik yang lebih luas ini, negara akan lebih bersedia untuk beralih ke teknologi rangkaian selular generasi kelima atau fifth generation cellular networking technology (“5G”) dalam masa yang terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran MyDIGITAL & Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen dan Facebook Rasmi Unit Perancang Ekonomi di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Muhyiddin menambah, inisiatif kedua di bawah MyDIGITAL yang berjumlah RM1.65 billion akan dilaburkan oleh beberapa syarikat telekomunikasi untuk memantapkan sambungan ke jaringan kabel dasar laut antarabangsa sehingga tahun 2023.

Jelas beliau, ini akan membuka ruang untuk pemindahan data antarabangsa yang lebih cepat dan stabil, sekaligus menurunkan kos internet kepada pengguna di Malaysia.

“Ketiga adalah sejumlah RM15 bilion akan dilaburkan sepanjang 10 tahun untuk pelaksanaan 5G ke seluruh negara.

“Ini akan mewujudkan lebih kurang 105,000 peluang pekerjaan. Usaha ini akan dilaksanakan melalui sebuah entiti khusus atau special purpose vehicle dibawah kerajaan Malaysia.

“Entiti ini seterusnya akan diberikan spektrum yang bersesuaian untuk memiliki, melaksana dan menguruskan infrastruktur 5G,” katanya.

Muhyiddin turut memberi jaminan semua syarikat telekomunikasi berlesen akan mendapat akses infrastruktur yang sama rata, dalam memasarkan perkhidmatan 5G kepada pelanggan mereka.

Ujar beliau, perkongsian kos infrastruktur itu membolehkan syarikat telekomunikasi menjana pulangan lebih tinggi dan seterusnya dapat memberikan khidmat 5G yang lebih baik dan murah kepada pengguna.

Tambahnya, keadaan ini akan melonjakkan penggunaan 5G dan meningkatkan keupayaan ekonomi dalam mencetuskan lebih banyak inovasi produk dan perkhidmatan.

“Maka, menjelang hujung tahun ini, teknologi 5G akan mula dinikmati oleh rakyat secara berperingkat. Dengan ini, Malaysia akan menjadi salah satu negara pertama di rantau ini yang membina ekosistem 5G menggunakan internet dan perkhidmatan awan dalam masa-sebenar atau real-time, untuk membolehkan maklumat dikongsi serta-merta.

“Bayangkanlah, teknologi 5G ini merupakan satu gamechanger, kerana akan wujud lebih banyak perkhidmatan pintar yang membawa kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.

“Hal ini kerana 5G bukan sahaja sekadar menjanjikan capaian internet yang lebih laju, tetapi lebih penting dari itu, ia memungkinkan pelbagai aplikasi penting berada dalam genggaman pengguna, termasuk aplikasi-aplikasi pemantauan kesihatan bagi pesakit-pesakit kronik, bantuan kecemasan pintar, dan aplikasi-aplikasi khas bagi warga emas yang tinggal bersendirian,” katanya.

Muhyiddin berkata, inisiatif keempat melibatkan antara RM12 billion hingga RM15 billion akan dilaburkan oleh syarikat-syarikat Cloud Service Provider (“CSP”) atau penyedia perkhidmatan awan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan setakat ini telah memberikan kebenaran bersyarat kepada empat syarikat CSP – Microsoft, Google, Amazon serta Telekom Malaysia untuk membina dan menguruskan pusat data berskala-hiper atau hyper-scale dan perkhidmatan cloud services.

Kata beliau, pusat data yang berskala-hiper ini serta perkhidmatan awan hibrid atau hybrid cloud services juga akan diwujudkan untuk menambah ruang penyimpanan data, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan analisis.

“Di samping itu, kerajaan juga telah mencadangkan untuk melantik tiga syarikat ICT tempatan sebagai Manage Service Provider (MSP) bagi bekerjasama dengan CSP ini untuk menguruskan perkhidmatan CSP kepada agensi Sektor Awam, seiring dengan hasrat untuk memperkasakan keupayaan syarikat tempatan. Syarikat tersebut adalah Enfrasys Solution Sdn.Bhd., Prestariang Systems Sdn. Bhd. dan Cloud Connect Sdn. Bhd.

“Sebagai langkah untuk memperkasakan perkhidmatan pengkomputeran awan Sektor Awam, kerajaan menerusi strategi Cloud First, telah menyasarkan migrasi 80 peratus data awam ke sistem awan hibrid ini menjelang akhir 2022.

“Selain pengumpulan dan pengurusan data secara lebih berkesan dan lancar, strategi ini dapat mengurangkan kos kerajaan dalam pengurusan teknologi maklumat dalam jangka panjang. Perkhidmatan Cloud juga akan membolehkan aplikasi Big Data, AI, IoT dan lain-lain digunakan untuk memantapkan perkhidmatan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette