Home Nasional Sebutan kes rasuah Guan Eng 28 Mei depan

Sebutan kes rasuah Guan Eng 28 Mei depan

Rayer hadir ke mahkamah bagi kes rasuah Guan Eng.

SEBERANG PERAI – Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini menetapkan 28 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes rasuah membabitkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Hakim Ahmad Azahari Abd. Hamid membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan memohon masa kepada mahkamah bagi meneliti dokumen yang diserahkan oleh pihak pendakwaan pada Selasa lalu.

Peguam, R. S. N Rayer dan A. Ruben Kumar memberitahu mahkamah bahawa pihaknya memerlukan masa kira-kira tiga bulan untuk meneliti dokumen lebih 1,000 muka surat itu dan bagi menasihati tertuduh.

Permohonan tersebut tidak dibantah pihak pendakwaan yang terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara, Shafiq Hasim dan Mohd. Ashrof Adrin Kamarul sebelum hakim menetapkan tarikh tersebut.

Kes itu turut membabitkan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, 56, dan ahli perniagaan, Phang Li Koon, 48.

Sementara itu, pihak pembelaan turut menyatakan akan memfailkan permohonan interlokutori dalam tempoh terdekat.

Kesemua tertuduh tidak hadir prosiding kerana mendapat pengecualian mahkamah.

Sebelum ini media tempatan melaporkan, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk suapan wang berjumlah RM372,000 bagi isterinya melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd.

Ia dengan cara memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn. Bhd. ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Juru dan sebahagian Lot 282, Batu Kawan di sini yang bernilai RM11.61 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Georget Town dekat sini di antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016.

Gek Cheng turut didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,000 hasil daripada aktiviti haram di mahkamah sama, namun mengaku tidak bersalah.

Sementara itu, Li Koon turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Guan Eng di lokasi dan tempoh yang sama.- MalaysiaGazette