Home Nasional Seramai 10,924 petugas barisan hadapan Perak bakal terima vaksin

Seramai 10,924 petugas barisan hadapan Perak bakal terima vaksin

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid

IPOH – Seramai 10,924 pasukan barisan hadapan termasuk polis negeri Perak bakal menerima vaksin dalam tempoh terdekat.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, penerima vaksin itu secara tidak langsung meningkatkan motivasi kepada petugas barisan hadapan khususnya polis untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

“Seramai 10,924 pegawai polis termasuk semua formasi di negeri ini akan menerima vaksin Covid-19 dalam jangka masa terdekat.

“Sehubungan itu, saya mewakili warga polis Perak ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri atas keprihatinan menjadikan kami sebagai keutamaan dalam penerimaan vaksin tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash memberitahu, sebanyak 1,745 kompaun ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikeluarkan Polis Kontinjen Perak bermula 22 Januari hingga semalam.

“Walaupun Perak diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pergerakan rentas daerah dan negeri masih tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran polis.

“Sehubungan itu, sekatan jalan raya di 53 lokasi masih dilakukan bagi tujuan pemantauan,” ujar beliau.

Justeru Mior Faridalathrash menasihatkan orang ramai terus bertanggungjawab dalam memastikan rantaian Covid-19 diputuskan. – MalaysiaGazette