Home Ekonomi Southern Power Generation sudah sedia mulakan tugas

Southern Power Generation sudah sedia mulakan tugas

Southern Power Generation Sdn. Bhd. (SPG) kini bersedia untuk menyalurkan 1,440 megawatt (MW) bekalan elektrik kepada grid nasional menerusi dua loji janakuasa tarbin gas kitaran gabungan (CCGT) yang masing-masing berkapasiti 720MW.

KUALA LUMPUR – Southern Power Generation Sdn. Bhd. (SPG) kini bersedia untuk menyalurkan 1,440 megawatt (MW) bekalan elektrik kepada grid nasional menerusi dua loji janakuasa tarbin gas kitaran gabungan (CCGT) yang masing-masing berkapasiti 720MW.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd, Datuk Nor Azman Mufti berbangga untuk berkongsi yang SPG kini boleh beroperasi pada tahap penuh kapasiti penjanaannya berikutan unit kedua (Unit 2) Loji Janakuasa Tarbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) berjaya mencapai tarikh operasi komersial (COD) pada tengah malam ini.

Beliau berkata, Unit 1 juga mencapai tarikh operasi komersial pada 1 Januari 2021 dan dengan tercapai COD Unit 2, sejumlah 720MW lagi penjanaan disalurkan kepada kapasiti penjanaan sedia ada di Semenanjung Malaysia yang membawa jumlah keseluruhan penjanaan kepada 25,962MW.

Nor Azman berkata, kejayaan SPG dapat dilakukan hasil usaha kerjasama dan sokongan pihak berkepentingan termasuk pengawalselia, pihak berkuasa, rakan projek, pemodal dan kontraktor.

“Terima kasih. Bersama, kita telah menjadikan ia satu pencapaian bermakna buat TNB dalam menjayakan projek-projek utama negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn. Bhd, Datuk Nor Azman Mufti

Nor Azman juga berkata, kedua-dua loji itu terletak secara strategik di bahagian selatan Malaysia iaitu Pasir Gudang, Johor dan berperanan penting dalam mengukuhkan kestabilan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia.

Kedua-dua loji ini dikendalikan dan disenggara sepenuhnya oleh REMACO, anak syarikat TNB Power Generation Sdn. Bhd. TNB Power Generation adalah anak syarikat milik penuh TNB yang membangunkan, mengendalikan serta menyelenggara portfolio unit penjanaan tenaga
milik TNB.

SPG membekalkan tenaga kepada TNB menerusi Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA). Kedua-dua lojinya menggunakan gas asli sebagai bahan bakar utama.

Bekalan elektrik yang dijana menggunakan teknologi tarbin pembakaran 9HA.02 daripada General Electric (GE) yang dijangka mencapai kecekapan loji kitarpadu melebihi 60 peratus.

SPG adalah loji janakuasa komersial pertama di dunia yang menggunakan tarbin gas 9HA.02 terbaharu dan paling cekap dihasilkan GE.

TNB dan anak syarikat milikan penuhnya, TNB Power Generation Sdn. Bhd. memiliki saham majoriti sejumlah 70 peratus dalam SPG sementara SIPP Energy Sdn. Bhd. memegang baki 30 peratus.- MalaysiaGazette