Home Nasional Vaksin: Warga emas di institusi KPWKM diutamakan

Vaksin: Warga emas di institusi KPWKM diutamakan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun beramah mesra dengan penghuni semasa mengadakan lawatan ziarah prihatin di Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas, Puchong, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 19 FEBRUARI 2021.

PUCHONG – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengutamakan warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) di bawah institusi milik agensi bagi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan bermula 26 Februari depan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, ia bagi memudahkan proses suntikan vaksin yang dijangka dilakukan pada fasa kedua kerana mereka tinggal dalam suasana berkelompok.

Pada masa sama, jelas beliau, pemilihan suntikan vaksin untuk warga emas dan OKU lain berdasarkan pendaftaran terbuka kepada golongan itu.

“Kita ada ramai (warga emas) dan kita bincang di institusi kementerian didahulukan kerana mereka duduk dalam kelompok kerana ia memudahkan.

“Pendaftaran juga ada dibuat dan pelbagai cara dan yang penting, kalau boleh semua rakyat mendapat suntikan vaksin agar kita kembali menjalani aktiviti seperti biasa.

“Warga emas berisiko tinggi dan tahap kesihatan seorang tidak sama dan saya bekas pesakit Covid-19, Sebagai menteri bertanggungjawab saya perlu memastikan golongan ini terjaga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Ziarah Prihatin di Pusat Jagaan dan Rawatan Orang Tua Al-Ikhlas di sini hari ini.

Pada Selasa lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata. vaksin Pfizer-BioNTech akan sampai di Malaysia pada Ahad ini.

Katanya, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bermula pada 26 Februari depan.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengandungi tiga fasa di mana fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan bermula pada 26 Februari sehingga April ini.

Fasa kedua program itu akan bermula pada bulan April sehingga Ogos depan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi manakala fasa ketiga akan melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas bermula dari bulan Mei 2021 sehingga Februari tahun depan.

Mengulas lanjut, Rina menyambut baik pelaksanaan program imunisasi vaksin itu dan berterima kasih kepada kerajaan yang mengutamakan golongan warga emas dan OKU selepas petugas barisan hadapan yang terlibat dengan kesihatan.

Kata beliau, ketika ini kementerian memiliki 48,000 warga emas di seluruh negara yang terdiri daripada penghuni di institusi miliknya dan pusat aktiviti warga emas selain sejumlah 1,999 OKU. – MalaysiaGazette