KUALA LUMPUR – Sebanyak 298 kes positif baharu Covid-19 hari ini adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan Kluster Tembok Bukit Besi (146 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (50 kes), Kluster Tembok Bendera (39 kes), Kluster Tembok Tapah (33 kes), Kluster Damai Pelangi (13 kes), Kluster DTI Sepang 2 (8 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (6 kes), dan Kluster Tembok Mempaga (3 kes).
Katanya, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,001 kes dan daripada jumlah itu, sebanyak 757 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.
Ini diikuti Kelantan sebanyak 257 kes dan Johor sebanyak 233 kes, ujarnya.
“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan empat kes di Sarawak, dan masing-masing satu kes di Selangor, Sabah, Perak, dan Kelantan. Kesemua kes kematian melibatkan warganegara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Noor Hisham berkata, sebanyak 10 lagi kluster baharu dikesan hari ini.
Jelasnya, kesemua kluster baharu itu adalah berkaitan tempat kerja di mana empat daripadanya dikesan di Johor, dua di Selangor dan Perak serta masing-masing satu di Sabah dan Sarawak.
Kluster-kluster baharu itu adalah, Jalan Tanjung Enam, Jalan Wawasan 14, Batu Dua Setengah, Jalan Lapangan Terbang, Perdana Tiga, Jalan Perusahaan Satu, Batu Sebelas, Jalan Pelabuhan, Jalan Pasar dan Tapak Bina Kasia.
Tambah beliau lagi, sebanyak 11 kluster ditamatkan hari ini iaitu Kluster Jalan Terolak, Kluster Persiaran Tasek, Kluster Jalan Mawila, Kluster Rawa Akasia, Kluster Pasar Baru, Kluster Sawmill Luit, Kluster Pantai Peringgit, Kluster Kampung Badak, Kluster Jalan Ijuk, Kluster Belati, dan Kluster Setapak Indah.
Bagaimanapun, kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi hari ini adalah Kluster Tembok Bukit Besi (146 kes), Kluster Sungai Putus (128 kes) dan Kluster Tanjung Suria (64 kes), katanya. – MalaysiaGazette