Home Eksklusif Cari jalan keluar, jangan terperangkap dalam kitaran keganasan

Cari jalan keluar, jangan terperangkap dalam kitaran keganasan

Isu keganasan rumah tangga ibarat masalah tidak berpenghujung.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Isu keganasan rumah tangga ibarat masalah tidak berpenghujung.

Walaupun terdapat banyak kempen-kempen kesedaran dipaparkan menerusi media sosial dan media elektronik namun ia masih banyak berlaku.

Jika dilihat berdasarkan laporan-laporan di dada akhbar, ada mangsa yang didera secara fizikal seperti dipukul, diterajang dan ditumbuk malah tidak terkecuali didera secara emosi.

Namun, umum mengetahui tidak semua mangsa keganasan rumah tangga mampu untuk bersuara dan meminta pertolongan kerana mereka khuatir akan keselamatan diri serta anak-anak mereka.

Jadi, tidak mustahil ada sebilangan mereka di luar sana yang masih diselubungi ketakutan dan hidupnya dilingkari kitaran keganasan rumah tangga yang tidak bernoktah.

Pengarah Pembangunan Kapasiti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Melissa Mohd. Akhir berkata, berdasarkan pengalaman WAO dan kajian oleh universiti, kitaran keganasan terbahagi kepada beberapa fasa.

Peringkat permulaan berlaku ketegangan atau masalah komunikasi sehingga pemandiri (mangsa) menjadi takut.

“Kitaran tersebut biasanya akan meletus apabila berlaku kejadian penderaan sama ada secara lisan, emosi dan fizikal selain pertengkaran, ancaman serta ugutan.

“Pada fasa seterunya pula, si pelaku akan mula meminta maaf, memberi alasan, menyalahkan mangsa dan menafikan penderaan yang dilakukan.

“Selepas itu, kejadian seakan-akan ‘dilupakan’ dan tiada penderaan berlaku. Itu kita gelar sebagai tempoh ‘bulan madu’ atau bertenang,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Petaling Jaya baru-baru ini.

Sesi fotografi bersama Pengarah Pembangunan Kapasiti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Melissa Mohd. Akhir. Foto AFFAN FAUZI.

Mengulas lanjut, Melissa berkata, kitaran keganasan yang berlaku terhadap mangsa tidak dapat dihentikan atau diputuskan jika tiada pihak yang tampil untuk menghulurkan bantuan.

Tambahnya, kebanyakan kes yang diterima WAO melibatkan mangsa, ada yang sudah mengalami kecederaan dan berada dalam kesakitan.

“Bila kitaran ini tidak diputuskan atau tiada pihak yang tolong untuk hentikan biasanya bentuk keganasan akan menjadi lebih melarat dan semakin teruk, seperti mana saya beritahu tadi mungkin si pelaku akan naik tangan atau kaki.

“Setiap kes yang berlaku adalah berbeza dan tidak sama dengan kes-kes lain. Jika mangsa dapat dibantu dari peringkat awal oleh ahli keluarga mahu pun anggota masyarakat mungkin lebih mudah untuk mereka keluar dari kitaran keganasan tersebut,” ujarnya.

Jelas Melissa, WAO menyediakan pelbagai bentuk bantuan berdasarkan latar belakang kes yang dihadapi oleh pemandiri.

“Kita akan kenal pasti terlebih dahulu apa keperluan pemandiri misalnya pada peringkat awal ada yang perlukan rawatan perubatan dan selepas itu mereka mahukan tempat perlindungan yang selamat.

“Kalau mahu pulang ke rumah mungkin tidak selamat jadi pekerja sosial kami akan bertanyakan keperluan mereka sama ada mahu terus pergi ke rumah perlindungan WAO atau mencari ahli keluarga dan rakan-rakan yang boleh membantu buat sementara waktu,” katanya.

Dalam pada itu, Melissa berkata, setiap wanita atau pemandiri akan berbincang dengan pekerja sosial WAO mengenai perancangan jangka pendek dan jangka panjang mereka.

Katanya lagi, WAO turut menyediakan kerangka kerja yang direka khas bagi membantu pemandiri berdasarkan keperluan dan minat mereka sepanjang berada di rumah perlindungan.

“Ada mangsa yang tinggal di rumah perlindungan dalam tempoh masa sekejap sahaja kerana mereka hanya ingin menguruskan isu keselamatan diri manakala pemandiri yang tinggal dalam jangka masa panjang, dia ada banyak keperluan antaranya terpaksa memindahkan anak ke sekolah lain dan selepas itu mencari rumah sewa baharu.

“Ada juga pemandiri yang keluar untuk mencari sumber pendapatan sendiri dan anak-anak mereka dijaga di pusat perlindungan kami.

“Anak-anak mereka ini kita akan bantu dari segi pendidikan selain ada sukarelawan yang datang untuk program bola sepak kanak-kanak,” katanya.- MalaysiaGazette