KUALA LUMPUR – Krisis pendidikan yang didakwa berlaku sejak setahun lalu perlu ditangani dengan lebih baik oleh Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, banyak perkara yang berlaku dalam sistem pendidikan dalam tempoh itu termasuk kes Cikgu Rafidah yang menjadi bahan jenaka seorang penyampai radio yang tular baru-baru ini.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, isu cikgu Rafidah adalah kelemahan dalam DidikTV yang sepatutnya boleh diatasi jika dilancarkan lebih awal,
”Benar, krisis pendidikan sudah berlaku sejak tahun lepas lagi. Mengapa DidikTV baru lancar minggu lepas? Saya tahu tidak ada program atau inisiatif yang benar-benar sempurna, tetapi kalau lancar lebih awal, sudah pasti banyak kelemahan akan dapat diatasi secara berperingkat,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang cuba mentertawakan atau mengejek usaha seorang guru mengajar anak-anak murid kerana ia adalah tindakan yang jelek dan bukan norma orang yang berilmu kerana guru harus dihormati.
Syed Saddiq berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mencetuskan kekeliruan apabila melancarkan DidikTV tapi sekolah akan buka pada 1 Mac 2021.
”Sudahlah ibu bapa dah habiskan wang beli gajet, laptop (komputer riba) dan tablet untuk anak-anak, ada pula pengumuman sekolah akan dibuka minggu depan.
”Jadi, wang beli laptop dan tablet itu sepatutnya sudah boleh guna buat beli baju sekolah, barang sekolah. Sekarang, kalau ibu bapa tidak ada wang pula bagaimana?,” soal Syed Saddiq yang mengakui keliru apabila keputusan flip flop ini dibuat.
Soalnya, adakah DidikTV bukan lagi fokus KPM jika sekolah dibuka semula.
Beliau turut mempersoalkan mana 150,000 laptop yang dijanjikan dalam Belanjawan 2021.
Katanya, pengumuman 150,000 laptop pada tahun lepas adalah kerana kerajaan sedang bersiap sedia untuk melanjutkan tempoh belajar dari rumah tetapi sehingga hari ini, tidak ada lagi berita atau khabar bila laptop ini akan diagihkan.
”Atau adakah laptop ini sudah tidak perlu memandangkan sekolah sudah dibuka semula? Ini hanya sebahagian kecil kekeliruan dari orang ramai.
”Banyak lagi hal-hal lain yang jadi rungutan ibu bapa dan guru-guru. Apa-apapun, Menteri Pendidikan harus segera beri respons dan tidak boleh menganggap “business as usual” sahaja,” ujarnya. – MalaysiaGazette