Home Dunia Masihkah ada harapan Palestin yang merdeka?

Masihkah ada harapan Palestin yang merdeka?

Gambar hiasan

SELAIN usaha dan doa, meraih Palestin yang merdeka sudah sekian lama diharapkan bukan sahaja negara itu tetapi masyarakat dunia yang cintakan keadilan dan keharmonian. Masihkah ada harapan baru untuk ia berlaku?

Sejak April 2014, proses perdamaian antara Palestin dan Israel telah terhenti berikutan penolakan Israel untuk menghentikan kegiatan di wilayah-wilayah yang dijajah dan menerima sempadan pada tahun 1967 sebagai dasar rundingan penubuhan negara Palestin.

Terdapat permintaan untuk tindakan negara Arab dan sokongan antarabangsa bagi melancarkan ruang-ruang perundingan baru antara Palestin dan Israel melalui kata sepakat, yang pertama sejak kehadiran Joe Biden yang memegang kuasa sebagai presiden Amerika Syarikat pada 20 Januari 2021 lalu.

Kata sepakat capai perdamaian

Ucapan yang dilaporkan oleh media Mesir dan Agensi Berita Palestin menyeru agar pentadbiran Amerika Syarikat yang baru melakukan usaha yang telus untuk mencapai
perdamaian dan kata sepakat. Dalam ucapan ketika diadakan mesyuarat tergempar Liga Arab baru-baru ini di ibu pejabat universiti di Kaherah, Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry mengatakan: "Pertemuan kami hari ini adalah mesej yang kuat dan sebagai titik permulaan untuk menyatakan bahawa kita perlu bersatu untuk mencapai penyelesaian yang sewajarnya bagi memenuhi aspirasi rakyat Palestin.”

Beliau turut merujuk kepada kesungguhan negara Arab yang dilakukan sejak akhir tahun lalu bagi membuka jalan memulakan kembali usahasama dan mendesak pemerintahan Joe Biden untuk melakukan kata sepakat untuk mencapai perdamaian.

Sementara itu, Menteri Luar Negeri Jordan, Ayman Safadi menyeru perlunya inisiatif Arab untuk memulakan kembali rundingan yang serius dan nyata untuk mencapai solusi dua
negara tersebut selain mendapatkan sokongan antarabangsa. "Pentingnya memperkenalkan langkah-langkah ini sekarang dengan kerajaan baru Amerika Syarikat memulakannya.”

Inilah waktu yang tepat

Menteri luar negeri Arab Saudi, Faisal Farhan meminta masyarakat antarabangsa untuk melakukan lebih banyak usaha bagi menghidupkan kembali proses damai yang akan
mencapai penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka di sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Menteri Luar Lubnan, Charbel Wahba pula mengatakan bahawa pertemuan luar biasa ini berlaku pada waktu yang tepat. “Ia bagi mendorong penyelesaian yang adil dan komprehensif serta memungkinkan mencapai perdamaian. Selain itu, dalam beberapa bulan akan datang, kita harus mendengar suara antarabanga untuk memastikan penyelesaian terhadap isu Palestin – Israel ini."

Selain itu, Menteri Luar Kuwait, Ahmed Nasser al-Sabah menegaskan kembali kedudukan negaranya dalam usaha mencari jalan keluar yang adil untuk sebuah perdamaian yang
membawa kepada penubuhan negara Palestin yang merdeka.

"Apa yang diperlukan adalah terus fokus kepada sasaran serta usaha yang berterusan bagi mengadakan perundingan dan dialog untuk mencapai pembentukan negara Palestin," tegas Menteri Luar Negeri Maghribi, Nasser Bourita.

Menteri Luar Negeri Algeria, Sabri Boukadoum dengan tegas menuntut untuk mendapatkan kembali inisiatif bagi mewujudkan syarat-syarat yang sesuai bagi menghidupkan semula jalan rundingan berdasarkan syarat-syarat perdamaian yang telah disepakati. "Perjuangan kami tidak ada yang lain selain membuka jalan untuk rundingan, dan kami menyeru semua pihak antarabangsa dengan kredibiliti dan pengaruh agar melakukan usaha yang jelas untuk melancarkan proses politik yang mempunyai masa depan yang jelas," ujar

Setiausaha Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit dengan lantang ketika ucapannya. Mesyuarat yang diadakan anjuran negara Mesir dan Jordan itu memfokuskan perbincangan situasi perkembangan di wilayah Arab dan isu mengenai Palestin.

Protes terhadap penjara Israel Dalam situasi lain, tahanan Palestin telah memutuskan untuk memulakan demonstrasi menolak penindasan terhadap mereka oleh Pentadbiran Penjara Israel, sebagaimana dilaporkan Kelab Tawanan Palestin. "Langkah-langkah protes terdiri daripada mengembalikan makanan dan kemudian langkah-langkah bertahap yang bergantung kepada tanggapan pihak pentadbiran penjara terhadap tuntutan mereka."

Menurut institusi Palestin yang menguruskan urusan tahanan, sehingga akhir Januari lalu, jumlah tahanan Palestin di penjara Israel mencapai kira-kira 4,500 orang yang mana 37
orang daripadanya adalah wanita dan jumlah kanak-kanak di bawah umur sekitar 140 orang.

Abu Dhabi

Oleh kerana sudah mencapai kesepakatan untuk menormalkan hubungan UAE-Israel pada 15 September 2020 di White House yang disaksikan mantan Presiden AS Donald Trump,
Israel pun telah membuka kedutaannya di Abu Dhabi pada 24 Januari lalu.

Selanjutnya, delegasi UAE pula tiba di Israel pada hari Isnin lalu sebagai persiapan untuk membuka kedutaan Abu Dhabi di Tel Aviv. Pada hari Ahad, 14 Februari 2021, Mohammed Mahmoud al-Khajah telah mengangkat sumpah sebagai duta UAE ke Israel di hadapan Naib Presiden UAE, Mohammed bin Rashid al-Maktoum.

Bukan hanya kerana kiblat pertama

Hakikatnya, Palestin ialah sebuah negara berdaulat di Timur Tengah di antara Laut Tengah dan Sungai Jordan, merangkumi Tebing Barat dan Gaza dengan Baitul Maqdis dirancang
sebagai ibu negara.

Walau bagaimanapun, pusat pentadbirannya kini terletak di Ramallah.

Tahukah kita, keseluruhan wilayah yang dituntut untuk negara Palestin telah diduduki sejak 1948 oleh Mesir, Jordan dan kemudiannya Israel selepas Perang Enam Hari pada tahun 1967?

Manakala selepas Perang Dunia Kedua pada 1947, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggunakan Pelan Pembahagian untuk Mandat Palestin yang mengesyorkan penubuhan sebuah negara Arab dan sebuah negara Yahudi yang merdeka dan
mengantarabangsakan kota Baitulmaqdis.

Pelan pembahagian ini diterima oleh Yahudi tetapi ditolak oleh Arab. Sehari selepas pengisytiharan negara Yahudi di Tanah Israel (Eretz Israel) yang kemudiannya dikenali dengan nama Israel pada 14 Mei 1948, negara Arab yang berjiran serta masyarakat Palestin telah memprotes dan bertempur dengan tentera Israel. Ia dinamakan dengan peristiwa Nakbah.

Masyarakat perlu prihatin dan peduli dengan apa jua halangan bagi merealisasikan sebuah negara Palestin yang merdeka. Bukan hanya kerana bumi itu sebagai kiblat pertama umat Islam, tetapi atas dasar manusiawi yang mana setiap manusia inginkan kemerdekaan dan jauh daripada ancaman penindasan dan kezaliman.

Merdeka untuk negara Palestin!- MalaysiaGazette

Atriza Umar
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia