KUALA LUMPUR – Dihimpit masalah kewangan sehingga terpaksa menjual motosikal?
Walaupun berlaku masalah pengangguran sehingga ada yang terpaksa menjual motosikal kerana dihimpit masalah pendapatan, tetapi keadaan itu tidak berleluasa.
China Press melaporkan, program i-Sinar, moratorium bayaran pinjaman dan penyelarasan bayaran semula hutang bulanan sebaliknya membantu rakyat membeli kereta terpakai atau motosikal untuk tujuan mencari rezeki.
Presiden Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia, Datuk Wee Hong berkata, disebabkan ramai orang memilih untuk menjadi penghantar ekspres atau penghantar makanan, keadaan itu merangsang jualan motosikal.
Wee Hong berkata, jualan motosikal pada Januari telah meningkat sebanyak lima peratus berbanding bulan sama pada tahun lalu.
“Pada Januari, kami menjual 60,000 buah motosikal berbanding 50,000 buah pada tahun sebelumnya.
“Walaupun kami sedar tentang laporan mengenai ada orang yang terpaksa menjual motosikal di Pulau Pinang kerana kehimpitan hidup, tetapi kes seperti ini tidak banyak,” katanya kepada China Press.
Jelasnya, program i-Sinar membolehkan sesetengah orang mengeluarkan simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli motosikal.
Katanya, orang yang kehilangan kerja membeli motosikal supaya boleh menjadi penghantar makanan dan penghantar ekspres.
Menurutnya, bantuan yang diberikan kerajaan kepada orang ramai membantu merangsang jualan motosikal. – MalaysiaGazette