BATU PAHAT – Satu tengkorak manusia ditemukan pekerja penyelenggaraan lebuh raya di KM122.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah Yong Peng – Pagoh, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Dollah berkata tengkorak berkenaan dipercayai milik pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira 10 bulan lepas, iaitu sekitar Mei atau Jun 2020.
Katanya, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu pada 1.10 tengah hari ketika pekerja berkenaan sedang melakukan kerja pembersihan longkang di cerunan tepi sebelah kiri lebuh raya.
“Dipercayai pemandunya hilang kawalan dan terbabas lalu terjatuh di bawah cerun lebuh raya ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas Ismail, polis sedang berusaha untuk mengenal pasti identiti mangsa melalui pemilik kenderaan yang telah dikesan.
“Dalam masa sama, siasatan turut dilakukan terhadap laporan orang hilang yang dilakukan pada Jun tahun lepas kerana berkemungkinan ada kaitan dengan kejadian kemalangan ini,” katanya.
Ismail berkata tengkorak itu kemudiannya telah dibawa ke Jabatan Patalogi, Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
— BERNAMA