Home Utama Yakinlah kepada perancangan KPM – PIBGN

Yakinlah kepada perancangan KPM – PIBGN

Pelajar sekolah tingkatan lima memakai pelitup muka hadir bagi menjalani sesi persekolahan pada hari pertama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 20 JANUARI 2021

KUALA LUMPUR – Ibu bapa dan penjaga diminta tidak terlalu gusar dengan keselamatan anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan mulai bulan depan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Dr Mohamad Ali Hasan percaya keputusan yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan itu selepas mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Menurutnya, PIBGN percaya KPM juga telah menambah baik semua prosedur operasi standard (SOP) sedia ada sebelum membenarkan para pelajar bersekolah semula.

“Sebagai ibu bapa dan penjaga kita perlu beri peluang kepada KPM melunaskan perancangannya kerana saya percaya keputusan KPM ini berdasarkan maklum balas pelbagai pihak,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian ketika diminta pelbagai reaksi ibu bapa tentang pengumuman sesi persekolahan yang secara berperingkat-peringkat mulai 1 Mac ini.

Mengulas mengenai kebimbangan ibu bapa, Mohamad Ali berkata, kelonggaran aktiviti-aktiviti ekonomi dan sosial sudah tentu dapat diseimbangkan dengan keperluan kesihatan, ekonomi dan pendidikan.

Sebab itu, kemasukan para pelajar ke sekolah dibuat secara berperingkat-peringkat supaya dapat mengawal kesesakan dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan di sekolah dan ketika perjalanan pergi dan balik dari rumah ke sekolah.

Katanya, dalam memastikan sesi pembukaan sekolah kali ini berjaya dilaksanakan, Mohamad Ali meminta ibu bapa membimbing setiap anak-anak mematuhi SOP memandangkan Program Vaksinasi Negara memberi keutamaan kepada golongan 18 tahun ke atas.

Oleh itu, adalah penting peranan PIBG dan alumni membantu pelaksanaan SOP di sekolah masing-masing agar ia dapat dibuat secara tersusun dan kemas.

“Pemeriksaan senarai perlu dilakukan supaya kesihatan dan keselamatan dalam keadaan baik dan terjamin ketika bersekolah,” ujarnya sambil menasihatkan ibu bapa memberi keyakinan dan kepercayaan kepada anak-anak untuk memulakan persekolahan dan pembelajaran secara bersemuka. – MalaysiaGazette