Home Nasional Beri pampasan jika penerima vaksin ada kesan sampingan serius

Beri pampasan jika penerima vaksin ada kesan sampingan serius

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakarmenyaksikan proses pertama vaksin Covid-19 untuk Malaysia telah tiba di KLIA hari ini.- Gambar FB KJ.

KUALA LUMPUR – Satu skim perlindungan program imunisasi vaksin kebangsaan Covid-19 akan diwujudkan sebagai melindungi para penerimanya mulai Rabu ini.

Skim khas itu bertujuan memberi pampasan kepada penerima vaksin sekiranya ada dalam kalangan mereka yang terjejas akibat kesan sampingan yang serius akibat daripada suntikan dos pertamanya nanti.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat khas yang diadakan minggu lalu.

Bagaimanapun kata Khairy Jamaluddin, skim itu kini dalam proses untuk diperincikan lebih mendalam sebelum diumumkan secara rasminya tidak lama lagi.

“Skim itu akan memberi pampasan ex-gratia kepada kes kesan sampingan serius yang boleh dikaitkan secara langsung dengan pesakit atau penerima yang terjejas akibat pemberian vaksin Covid-19.

“Jemaah menteri yang bermesyuarat khas minggu lalu sudah memutuskan bahawa kita akan wujudkan satu skim untuk penerima vaksin yang mengalami kesan sampingan serius,” katanya pada sidang media khas ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Sidang media yang sama turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah serta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Khairy Jamaluddin yang mempengerusikan Program Imunisasi Kebangsaan juga diminta mengulas sama ada kerajaan akan memulakan siri perbincangan dengan syarikat-syarikat insurans untuk menawarkan perlindungan kepada penerima vaksin Covid-19 yang mendapat kesan sampingan serius atau kematian disebabkan oleh pengambilan vaksin.

Beliau bagaimanapun menegaskan, kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Beliau  juga menyatakan kerajaan kekal dengan keputusan pemberian vaksin secara sukarela ketika ditanya sama ada ia diwajibkan sekiranya jumlah individu yang mendaftar sebagai penerima vaksin tidak setara dengan bekalan yang diterima khususnya pada fasa kedua dan ketiga apabila ia dilaksanakan kelak.

“Kita belum buat apa-apa keputusan berhubung perkara itu (bincang dengan syarikat insurans) tetapi pendirian kerajaan ketika ini kekal iaitu vaksin diberi secara sukarela.

“Kita tunggu dan lihat nanti perkembanganya… andai kata tidak ramai yang mendaftar sebagai penerima, maka polisi yang dikekalkan kerajaan ketika ini akan dibincangkan kemudian,” katanya.- MalaysiaGazette