Home Seni Hidup Ibu bapa jangan risau, biar anak-anak ambil SPM dengan tenang

Ibu bapa jangan risau, biar anak-anak ambil SPM dengan tenang

Ibu bapa dinasihatkan supaya jangan terlalu risau mengenai keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diduduki anak-anak mereka mulai esok.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Ibu bapa dinasihatkan supaya jangan terlalu risau mengenai keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diduduki anak-anak mereka mulai esok.

Sebaliknya mereka kena bersama-sama mendoakan supaya mereka selamat menduduki pemeriksaan dan menjawab setiap kertas subjek dengan baik dalam keadaan norma baharu Covid-19 kali ini.

Itu nasihat Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan kepada seramai 401,105 calon-calon SPM.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, beliau berkata, ibu bapa, penjaga dan guru-guru sudah bersiap sedia menghadapi SPM dalam suasana norma baharu.

Beliau menyedari calon-calon SPM 2020 telah mencipta sejarah apabila kumpulan pelajar Tingkatan Lima itu terpaksa mengikuti sesi kelas tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan namun pembelajaran bersemuka paling singkat hanya sekitar empat bulan gara-gara penularan pandemik.

“Covid-19 yang memaksa mereka beralih kepada pembelajaran dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom dan Skype.

“Mereka juga terpaksa menduduki peperiksaan itu tanpa berpeluang menguji kemampuan diri dalam pelbagai mata pelajaran menerusi peperiksaan percubaan seperti kelaziman,” katanya lagi.

Mohamad Ali bagaimanapun yakin semua calon-calon juga sudah membuat persiapan kerana sudah mengaplikasikan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara kendiri tempoh hari.

“Apa yang saya dimaklumkan adalah semua pelajar, ibu bapa serta guru-guru sudah bersiap siaga menghadapi norma baharu SPM kali ini dengan pematuhan SOP (Prosedur Operasi Standard) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang begitu ketat dan tinggi mengelak risiko jangkitan di sekolah.

“Tak perlu berdebar-debar.. ibu bapa tak perlu risau mengenai keputusan anak-anak nanti. Buat masa ini doakan keselamatan dan kesihatan anak-anak serta para guru yang akan menguruskan mereka di sekolah.

“Saya juga berharap semua di sekolah supaya spanjang masa pemeriksaan mematuhi terus berdisiplin, mematuhi SOP PKP iaitu penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dengan cara yang betul, sentiasa membersihkan tangan dengan cecair pembasmi kuman dan tidak bersentuhan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau juga tidak mahu anak-anak mudah menyerah kalah dalam situasi norma baharu sebaliknya menguatkan semangat dan kekentalan mental menjawab soalan peperiksaan.

“Kami yakin sekolah juga terus memantau dan mengutamakan tahap pengawasan pematuhan SOP sepanjang musim peperiksaan berada pada tahap tinggi mengelak risiko penularannya.

“Ibu bapa perlu memberi kata-kata semangat kepada anak-anak sepanjang peperiksaan berlangsung dan sentiasa berada bersama guru untuk menjayakan peperiksaan kali ini,” tegasnya.

Tinjauan hari ini mendapati proses persiapan sekolah bagi menghadapi peperiksaan SPM dibuat secara ketat dan tidak membenarkan wakil media memasuki premis membuat liputan.

Oleh kerana PKP dilanjutkan sehingga 4 Mac ini, kehadiran orang luar khususnya wakil media tidak dibenarkan.

Difahamkan setiap sekolah menerima arahan Kementerian Pendidikan supaya memastikan tiada kemasukan pihak luar untuk meninjau persiapan akhir bilik darjah atau dewan untuk calon SPM.

Difahamkan, arahan itu dibuat kerana pihak pengurusan sekolah tidak sanggup mengambil risiko penularan Covid-19.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

401,105 calon akan menduduki SPM Isnin ini