Home Pendapat Perbezaan tulang haiwan dan manusia pada pandangan forensik

Perbezaan tulang haiwan dan manusia pada pandangan forensik

Serpihan tulang yang dipercayai tulang manusia dari perut buaya yang ditangkap Sungai Rimbas. Gambar hiasan.

MUTAKHIR ini, negara kita banyak dikejutkan dengan beberapa kes kematian yang disebabkan oleh jenayah iaitu pembunuhan secara kejam.

Terdapat juga kes bunuh yang dilakukan oleh rakan sebaya dan juga saudara yang berkedekatan. Begitu juga dengan kes jenayah yang melibatkan pembunuhan kerana dendam dan pelbagai jenis alasan lain.

Kadang kadang kes jenayah telah berlaku dalam masa yang lama, sehingga telah menyebabkan mayat mangsa menjadi reput dan akhirnya hanya tinggal tulang semasa siasatan dijalankan setelah mendapat aduan.

Kes siasatan menjadi semakin sukar, apabila pembunuhan yang kompleks seperti dalam kes letupan dimana serpihan tulang telah hancur dan bukti protein DNA mangsa tidak dapat membantu dalam siasatan.

Tulang yang dijumpai juga kadang-kadang merupakan tulang haiwan yang mati. Bagaimana ahli forensik dapat membezakan antara tulang haiwan dan manusia?

Dalam melakukan pemeriksaan tulang, terdapat perbezaan yang ketara di antara tulang haiwan dan manusia.

Namun, ada beberapa cara bagi menyelesaikan permasaalahan ini. Di antaranya adalah bagi melakukan pemeriksaan tulang secara luaran dan dalaman tulang.

Secara luarannya, tulang mempunyai tekstur dan morfologi yang berbeza dari tulang haiwan. Terdapat lekukan, benjolan dan lurah yang menunjukkan bentuk tulang manusia yang berbeza dari tulang haiwan.

Dari pemeriksaan dalaman pula, iaitu secara pemeriksaan mikroskopik, terdapat perbezaan yang ketara dalam susunan sel-sel tulang iaitu sistem Haversian yang berbeza dalam tulang manusia daripada tulang haiwan.

Namun, ini bergantung kepada kepakaran yang ada pada seorang pakar yang berpengalaman dalam bidang anthropologi forensik.

Sebagai contoh, penulis pernah mendapat arahan dari pihak polis bagi menyelesaikan kes seorang ahli perniagaan yang mati dibunuh bersama-sama tiga lagi mangsa yang lain di sebuah ladang.

Beberapa serpihan tulang yang dijumpai terendam dalam air telah diambil bagi pemeriksaan lanjut. Setelah diperiksa, didapati tulang belulang tersebut telah dibakar dan dibuang ke dalam sebuah sungai. Dalam keadaan yang sukar ini, tulang belulang tersebut tidak dapat diproses untuk pemeriksaan dalaman dan mengalami kehancuran ketika proses membuat slaid mikroskopik tulang.

Akhirnya, tiada pengecaman dapat dibuat bagi membezakan di antara tulang manusia atau haiwan pada serpihan tulang mangsa.

Ini adalah di antara kekangan yang boleh berlaku sekiranya tulang telah dibakar secara lengkap yang menyebabkan proses lanjut tidak dapat dijalankan sepenuhnya.

Dalam kes bencana besar-besaran seperti kejadian bangunan terbakar, tanah runtuh dan sebagainya, tulang belulang yang dijumpai boleh dikumpulkan untuk dibuat pengecaman mangsa dari semua aspek.

Pakar forensik akan membuat penilaian berapa ramai mangsa yang terlibat, pengecaman dari segi pakaian dan barang peribadi yang dijumpai dan lain-lain.

Selalunya tulang belulang yang dijumpai akan dikumpulkan untuk menjalani pemeriksaan x-ray untuk mengesan kecederaan lain seperti kepatahan tulang dan sebagainya.

Pemeriksaan seterusnya dilakukan bagi menentukan bilangan individu yang terlibat sehingga kesemua tulang dapat dinilai sepenuhnya.

Setelah kesemua pengecaman telah dibuat, bedah siasat mayat hanya akan dijalankan pada beberapa mayat yang ada bagi menentukan sebab kematian secara menyeluruh.

Ini adalah prosedur yang biasa dijalankan oleh pakar forensik
bagi mempercepatkan lagi proses penyerahan kepada pihak keluarga bagi pengebumian mangsa-mangsa yang terlibat.

Dalam satu kes letupan yang berlaku pada seorang individu tidak lama dahulu, penulis juga telah berpeluang memeriksa tulang belulang mangsa bagi membuat pengecaman. Tulang belulang tersebut telah dikumpulkan dari sebuah kawasan hutan yang berdekatan, namun terdapat banyak serpihan tisu yang didapati tersangkut di sekitar kawasan letupan tersebut.

Serpihan tisu telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi pemeriksaan DNA dan dibuat perbandingan dengan ahli keluarga terdekat bagi membuat pengecaman mangsa.

Dari pemeriksaan tulang, hanya seorang individu sahaja yang terlibat. Kesimpulan juga telah dibuat bagi menentukan letupan telah berlaku di sebahagian besar badan mangsa.

Ini penting bagi membuat perbandingan dengan sejarah letupan yang dilakukan oleh tertuduh bagi menjatuhkan hukuman di mahkamah kelak.

Segala barang kes dan serpihan bahan letupan dari tempat letupan telah dikumpulkan oleh pihak polis bagi membantu siasatan tempat kejadian.

Peranan penulis dalam kes ini adalah bagi menentukan samada tulang yang diperiksa adalah tulang manusia atau haiwan. Dalam kes sebegini, di kawasan hutan belantara, terdapat banyak haiwan yang berkeliaran seperti harimau, monyet, musang dan sebagainya yang mana tulang belulangnya boleh menyerupai seperti tulang manusia.

Dalam kes ini, pemeriksaan dalaman tulang dan penyediaan slaid mikroskopik tulang telah dibuat di sebuah makmal
dengan bantuan ahli makmal yang lain.

Setelah diperiksa, jelas ia merupakan tulang manusia dan bukan tulang haiwan dari susunan sistem Haversian dan osteon yang ada. Ini adalah di antara beberapa kes menarik yang memaparkan betapa pentingnya pemeriksaan lengkap dilakukan oleh pakar forensik bagi membantu pihak polis dan institusi kehakiman dalam menjalankan penyiasatan kes secara sistematik dan teratur.

Pada pandangan Islam, orang Islam hendaklah menjalankan tanggungjawab terhadap saudaranya yang lain iaitu antaranya menjaga nyawa, harta dan kehormatan diri sebagaimana sabda Nabi S.A.W: Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya”. Riwayat Muslim (2564)

Adalah haram bagi orang Islam untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain mencerobohi hartanya, menipu serta hendaklah menjaga kehormatan dirinya dan keturunannya. Adalah penting sifat kasih sayang serta belas kasihan ditanamkan dalam hati kita supaya keselamatan dan keharmonian manusia sejagat terpelihara.

Orang Islam itu sifatnya berkasih sayang antara satu sama lain. Seperti Sabda Nabi SAW Maksudnya: “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya
sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”. Riwayat al-Bukhari (13) dan Muslim (45).- MalaysiaGazette

Prof Dr Faridah Mohd Nor
Pakar Patologi Forensik
Fakulti Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Dr Aspalilah Alias
Pensyarah Anatomi,
Fakulti Pergigian,
Universiti Sains Islam Malaysia