SETELAH tertangguh dan ditunda beberapa bulan akibat serangan pandemik Covid-19, akhirnya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi kohort 2020 akan bermula Isnin, 22 Februari 2021.
Jelas sekali baik calon, ibu bapa mahupun guru adalah golongan yang cukup teruja menantikan detik yang ditunggu begitu lama ini.
Hal ini kerana peperiksaan yang sepatutnya bermula dan berakhir pada penghujung tahun lepas terpaksa berlarutan melangkaui tahun berikutnya.
Justeru, calon SPM kohort 2020 dianggap generasi yang cukup istimewa kerana perkara seperti ini tidak pernah berlaku lagi di negara kita.
Hakikatnya, SPM adalah peperiksaan yang cukup penting yang bakal menentukan hala tuju dan masa depan anak-anak kita sama ada dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi atau perlu memasuki alam pekerjaan.
Justeru peperiksaan ini sering menarik perhatian semua pihak terutamanya ibu bapa yang mahukan anak mereka terus cemerlang dalam akademik.
Dalam konteks ini, walaupun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran, dugaan dan rintangan sepanjang menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR)
ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan sekolah ditutup, kita percaya semua calon sudah bersedia untuk memasuki medan peperangan ini.
Mahu tidak mahu kita perlu meneruskan perjuangan yang belum selesai ini. Sesungguhnya serangan wabak, penutupan sekolah, penundaan jadual peperiksaan dan sesi PdPR bukanlah alasan untuk kita kecewa, mengalah dan putus asa.
Sebaliknya kita percaya ianya telah mendidik anak-anak kita untuk menjadi lebih kental, belajar untuk berdikari dan berdaya tahan secara mental dan fizikal.
Justeru pesanan kita kepada semua calon SPM 2020, saat yang ditunggu sudah tiba, jadi inilah masanya untuk anda bangkit membuktikan kemampuan masing-masing.
Semuanya kini terserah kepada anda untuk menentukan masa depan dan hala tuju sendiri. Apa yang penting sekarang ialah pastikan anda bersedia secara mental dan fizikal, kekal fokus pada setiap mata pelajaran mengikut jadual peperiksaan, jangan
sesekali rasa tertekan, di samping sentiasa menjaga kesihatan, pemakanan serta waktu tidur.
Ingat, jangan sesekali kita alpa pada waktu yang cukup kritikal ini.
Pada masa yang sama, ambil juga ruang yang ada untuk mendapatkan keberkatan dan restu dari ibu bapa dan juga para guru yang sentiasa mendoakan kejayaan anda selama ini. Doa dan restu mereka pasti akan membantu mengiringi kejayaan anda.
Kepada ibu bapa dan penjaga, teruslah beri sokongan kepada anak-anak anda.
Jangan sesekali memberi sebarang tekanan kepada mereka. Sebaliknya tumpukan perhatian yang lebih kepada mereka dengan memberi motivasi, dorongan dan kata-kata semangat supaya mereka lebih tenang ketika menduduki peperiksaan ini.
Doa dan restu anda cukup penting pada waktu genting seperti ini. Lindungilah keselamatan dan kesihatan mereka sekali gus pastikan juga anak-anak hadir ke sekolah mengikut jadual peperiksaan dan sentiasa mematuhi prosedur standard
operasi (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.
Kepada para guru di seluruh negara, kita mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah, syabas dan terima kasih di atas segala pengorbanan, komitmen dan dedikasi anda selama ini dalam membantu semua calon SPM di sekolah masing-masing.
Kreativiti dan kesungguhan anda dalam meneruskan sesi pengajaran walaupun ketika berhadapan dengan pelbagai rintangan sangat kita kagumi dan hargai.
Anda adalah kelompok adiwira yang sangat kami sanjungi.
Mohon restui dan halalkan segala ilmu yang telah kalian curahkan selama ini.
Semoga anak-anak kita berjaya dalam peperiksaan SPM 2020 dan menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Tuntasnya, semoga semangat juang dan daya tahan yang tinggi setiap calon, di samping sokongan dan iringan doa para ibu bapa dan guru akan membantu semua anak-anak kohort yang istimewa ini mencapai kejayaan yang diidamkan.
Selamat maju jaya kepada semua calon SPM kohort 2020. Ingat, anda adalah kohort yang terpilih dan istimewa!- MalaysiaGazette
Penulis adalah penganalisis isu-isu semasa