Home Nasional Hakim tetapkan 4 Mac depan sambung bicara kes rasuah Zahid

Hakim tetapkan 4 Mac depan sambung bicara kes rasuah Zahid

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir bagi perbicaraan kes Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.foto HAZROL ZAINAL, 28 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 4 Mac depan bagi menyambung perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah yang menetapkan tarikh tersebut turut mengarahkan kepada peguam yang mewakili Ahmad Zahid supaya anak guamnya tidak menghadiri apa-apa mesyuarat seminggu sebelum tarikh perbicaraan.

Prosiding yang sepatutnya bermula pada jam 9 pagi hari ini terpaksa ditangguh setelah Presiden UMNO itu menjadi kontak parat Covid-19 kepada seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semalam.

“Mahkamah Tinggi mempunyai jadual untuk diikuti, yang mana ia akan menganggu sekiranya ada penangguhan selanjutnya. Saya harap anda dapat menasihatkan anak guam untuk ikut peraturan.

“Kita tetapkan tarikh perbicaraan baru iaitu 4, 5, 18, 19 dan 26 Mac depan.

“Kita tidak boleh membuang masa lagi. Perbicaraan mahkamah melibatkan anak guam juga sangat penting dan perlu diutamakan dari yang lain-lain,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah, ia merupakan kali ketiga perbicaraan ditangguhkan ketika Ahmad Zahid menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19 sejak tahun lalu.

Collin turut meminta pasukan peguam Ahmad Zahid untuk menyerahkan dokumen relevan termasuk surat kebenaran permit perjalanan rentas negeri dan bukti telah menghadiri mesyuarat MKT yang menunjukkan beliau menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 sebelum mahkamah ditangguhkan.

Selepas mahkamah berehat selama 30 minit, akhirnya dimaklumkan semua dokumen berkaitan telah diserahkan kepada hakim dan tidak mendapat apa-apa bantahan lagi dari pihak pendakwaan.

Ahmad Zahid, 68, yang merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram daripada dana milik Yayasan Akalbudi. -MalaysiaGazette