Home Nasional Kebakaran kabel di Jambatan Pulau Pinang: TNB mohon maaf

Kebakaran kabel di Jambatan Pulau Pinang: TNB mohon maaf

Anggota bomba sedang melakukan operasi pemadaman api pada kabel elektrik di Jambatan Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memohon maaf atas kesulitan pengguna jalan raya susulan kebakaran kabel elektrik di Jambatan Pulau Pinang hari ini.

Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir Husaini Husin berkata, kebakaran itu melibatkan kabel 132kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara.

Rakaman CCTV menunjukkan jalan sesak selain asap hitam akibat kebakaran kabel elektrik di Jambatan Pulau Pinang.

“Kebakaran dikesan berlaku sekitar jam 4 petang dan punca sebenar masih lagi dalam siasatan.

“TNB bekerjasama rapat dengan pihak polis, bomba serta PLUS dalam mengawal kebakaran bagi membolehkan aliran trafik di jambatan itu kembali lancar.

“Kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul akibat kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, bekalan elektrik TNB kepada semua pengguna di Pulau Pinang masih stabil dan proses baik pulih kerosakan kabel yang terjejas akan dibuat segera.

Orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi talian TNB CareLine 15454 sekiranya terdapat sebarang masalah.

Terdahulu, ratusan kenderaan terperangkap dalam kesesakan dari arah Perai menghala George Town akibat kabel elektrik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di bawah jambatan itu terbakar petang tadi.

Difahamkan, kenderaan bergerak perlahan selain asap hitam turut kelihatan di lokasi kejadian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya terima panggilan kecemasan berhubung kebakaran kabel elektrik di Kilometer 3.3 itu jam pada 4.27 petang. – MalaysiaGazette