AMPANG- Seorang ibu tunggal terpaksa tinggal dalam keadaan daif bersama tiga orang anaknya di sebuah bangunan usang yang terbengkalai pembinaannya di Kampung Tasek Tambahan di sini hampir setahun yang lalu.
Rini, 43, seorang warga Indonesia mendakwa, sejak ditinggalkan suaminya seorang lelaki warga tempatan, dia terpaksa mengambil upah mengumpul barangan buruk dan terbuang bagi menampung kehidupan mereka empat beranak.
Menurut Rini, suaminya yang pertama telah meninggal dunia sebelum dia mendirikan rumah tangga dengan seorang pemuda lain namun suami barunya itu meninggalkan mereka sekeluarga tanpa khabar berita tidak lama selepas itu.
“Saya ada dua orang anak perempuan yang berumur 14 dan 13 tahun serta anak bongsu lelaki yang baru berusia dua tahun, kedua-dua anak perempuan saya itu tidak bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen kelahiran yang lengkap.
“Masalah timbul kerana perkahwinan kami juga tidak melalui proses yang sah, hanya diuruskan oleh rakan-rakan ketika itu.
“Kini saya bingung mengenai masa depan saya dan anak-anak, dalam fikiran saya hanya nak mencari nafkah untuk mereka walaupun terpaksa tinggal dalam keadaan yang menyedihkan ini,” kata Rini ketika ditemui Malaysia Gazette di sini hari ini.
Kisah kedaifan Rini dan anak-anaknya tular apabila seorang sukarelawan sosial, Ramlah Jais dan rakannya, Muhammad Ihrar Abu Bakar menemui keluarga itu sewaktu sedang mengagihkan barangan bantuan di kawasan berhampiran.
Ramlah yang menulis kisah keluarga Rini dalam akaun Facebooknya memberitahu, ketika menemui keluarga berkenaan, beliau terkejut kerana kesemua mereka tinggal dalam keadaan yang cukup menyedihkan.
Bertindak di atas maklumat yang diberikan Ramlah dan Muhammad Ihrar, dua pegawai dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) segera ke lokasi bangunan usang itu dan menemui Rini serta anak-anaknya.
Sementara itu menurut Ramlah, beliau bersyukur kerana pihak LZS segera turun ke lokasi setelah dimaklumkan mengenai kisah kemelaratan keluarga Rini.
“Memang sedih ketika saya dan Muhammad Ihrar menemui mereka, paling membuatkan saya tersentuh, terdapat beberapa ekor anjing liar turut ‘menghuni’ tempat tinggal mereka dan mereka hanya menggunakan barang-barang terbuang untuk dijadikan ‘perabot’.
“Untuk membersihkan diri, mereka menggunakan sebuah saluran air berhampiran, keadaan Rini dan anak-anaknya juga kusut masai dan tidak terurus.
“Saya berharap sangat pihak berkuasa boleh membantu keluarga Rini ini, apatah lagi bila mengenangkan nasib anak-anaknya yang terabai sejak sekian lama,” katanya. – Malaysia Gazette.
Gampang aja pati indon bikin ngomong simpati bisa promosi donasi dong.